fbpx

Kumpul, lupus al-Quran rosak akibat banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEJUMLAH al-Quran yang rosak akibat banjir baru-baru ini dikumpulkan oleh APM Wilayah Persekutuan dan Jawi untuk dilupuskan.

MUSIBAH banjir yang berlaku secara tiba-tiba pada hujung Disember lalu telah menyebabkan banyak lokasi di seluruh negara ditenggelami air.

Bencana alam tersebut bukan sahaja menyebabkan sebahagian mangsa berdepan kesukaran dalam menjalani kehidupan seharian, tetapi turut mengakibatkan kerugian apabila banyak harta benda mereka rosak.

Selain peralatan elektrik, perabot dan kenderaan ditenggelami air, pelbagai dokumen penting seperti bahan bacaan turut musnah termasuk al-Quran yang menjadi kitab suci umat Islam.

Melihat kepada keadaan tersebut, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) telah menjalin kerjasama bagi melaksanakan Program Qalam Move yang bermula sejak 30 Disember lalu.

Penyelaras Program, Kapten (PA) Mohamad Hamka Jamali berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi membantu pihak jabatan agama mengumpul al-Quran yang rosak terutama dari kawasan yang dilanda bencana banjir untuk dibaik pulih atau dilupuskan mengikut kaedah yang telah ditetapkan.

“Inisiatif ini dilaksanakan sebagai salah satu usaha APM dalam membantu orang awam khususnya mangsa-mangsa banjir untuk melupuskan kitab al-Quran milik mereka yang sudah rosak akibat ditenggelami air.

“Selain itu, kami turut menjalankan aktiviti mengutip sumbangan daripada anggota dan pegawai APM, pegawai bersekutu serta orang awam sama ada dalam bentuk wang ringgit mahupun naskhah al-Quran untuk disumbangkan semula kepada mangsa-mangsa banjir serta masjid dan surau terlibat.

“Diharapkan dengan usaha ini dapat membantu khususnya dalam menyediakan bahan bacaan agama untuk kegunaan mereka di rumah, masjid dan surau,” katanya kepada K2.

Majlis perasmian Program Qalam Move itu telah berlangsung di Pejabat APM Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur baru-baru ini dan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya APM, Lokman Effendi Ramli @ Zakaria.

Turut hadir ialah Pengarah Jawi, Datuk Mohd. Ajib Ismail.

Selain APM dan Jawi, Program Qalam Move turut mendapat sokongan daripada Pasukan Tindakan Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) Persatuan Gagasan Sukarelawan SeMalaysia (PGSS), Pegawai Bersekutu APM dan orang perseorangan yang prihatin dengan isu tersebut.

PIHAK APM turut mengagihkan sumbangan naskhah al-Quran kepada masjid atau surau terbabit bencana banjir di beberapa negeri,

Dalam pada itu, Mohd. Ajib pada majlis yang sama berkata, inisiatif yang diselaraskan oleh APM itu telah membuktikan bahawa kerja-kerja pengurusan al-Quran yang rosak bukan hanya terhad kepada agensi agama, tetapi juga merupakan tanggungjawab semua pihak dalam memelihara kemuliaan dan kehormatan al-Quran.

“Memelihara kesucian dan menghormati al-Quran adalah satu amanah yang amat besar. Ia merupakan lambang keimanan kita pada Allah.

“Kita bukan hanya diperintahkan untuk membaca, memahami serta mengamalkan isi kandungan al- Quran semata-mata, tetapi kita juga berperanan dalam memelihara kesucian dan kemuliaan kitab suci itu sama ada naskhah yang masih elok, lama atau sudah rosak, di mana ia perlu dilupuskan dengan cara yang betul dan terhormat.

“Dengan adanya bantuan daripada pelbagai pihak termasuklah seperti yang dilaksanakan oleh APM kali ini, ia bukan sahaja membantu memelihara kesucian al-Quran tetapi juga meraih ganjaran pahala yang berpanjangan dan kehidupan kita sentiasa dinaungi keberkatan serta kerahmatan daripada Allah,” katanya.

Sementara itu, Lokman Effendi dalam ucapan perasmiannya berkata, dalam tempoh dua minggu sahaja, Program Qalam Move telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 1,000 naskhah al-Quran baharu atau elok dengan sebahagiannya telah diagihkan kepada kawasan yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri.

Tambahnya, program tersebut telah membuktikan bahawa dalam kesibukan agensi itu dalam membantu menangani hal-hal berkaitan bencana, mereka turut meluangkan masa melaksanakan fardu kifayah menerusi Program Qalam Move.

“Dalam usaha APM membantu melaksanakan tugas-tugas dalam pascabencana seperti pembersihan, pemulihan dan juga kebajikan mangsa bencana, kita juga tidak lupa untuk membantu pihak berkuasa agama untuk menguruskan hal-hal berkaitan al-Quran yang lama dan telah rosak di lokasi bencana.

“Sebab itulah, kita dalam kalangan anggota dan pegawai APM menawarkan tenaga kerja untuk membantu pihak Jawi bagi kerja-kerja pengurusan teks dan naskhah al-Quran bermula daripada pengumpulan, pengeringan selain bantuan logistik untuk menghantar dan melepaskan abu al-Quran di laut,” katanya.

Tambah beliau, APM sentiasa bersedia dalam melaksanakan tugas di luar tugas rutin mereka dalam usaha meringankan beban pelbagai pihak sama ada anggota masyarakat mahupun agensi swasta dan kerajaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI