JAKARTA – Peruntukan 120 hari atau empat bulan untuk berkempen sempena Pemilihan Umum Presiden (Pemilu) Indonesia 2024 dianggap terlalu lama dan membazirkan wang, lapor laman berita Tribunnews semalam.
Pemerhati politik Indonesia, Ujang Komaruddin berkata, Suruhanjaya Pemilihan Umum (KPU) perlu menimbangkan semula keputusan kempen selama 120 hari tersebut.
“Semakin lama kempen berlangsung, semakin nipis poket calon-calon yang bertanding. Mereka akan bergolok gadai, menjual tanah atau berhutang sana sini demi menampung wang sepanjang berkempen.
“Bagi saya, cukup tiga bulan sahaja untuk berkempen kerana ia tidak terlalu singkat dan tidak terlalu lama,” jelasnya.
Selain itu, tempoh empat bulan kempen juga akan membebankan pasangan dan keluarga calon presiden dan timbalan presiden yang perlu memberi komitmen penuh sepanjang ia berlangsung.
Baru-baru ini, KPU mengumumkan Pemilu akan diadakan pada 14 Februari 2024 dan tempoh berkempen akan bermula pada Oktober 2023 selama empat bulan. – Agensi