SELEPAS abangnya juga pelakon dan penyanyi terkenal, Park Yoo Chun dijatuhkan hukuman 10 bulan penjara dan denda akibat kesalahan menyalahguna dadah jenis syabu pada tahun 2019, kini giliran adiknya, aktor Park Yoo-hwan disiasat polis dan akan didakwa di mahkamah akibat masalah serupa.
Kes membabitkan Yoo-hwan juga telah diserahkan kepada pihak pendakwa raya pada November tahun lalu atas kesalahan melanggar Akta Kawalan Narkotik.
Yoo-hwan didakwa mengambil dadah jenis ganja pada Disember 2020 di sebuah restoran di Bangkok, Thailand bersama dua orang rakannya.
Ketika kejadian, dia dikatakan berada di Thailand untuk membuat kemunculan istimewa sempena penganjuran konsert abangnya, Yoo-chun.
Dalam satu laporan media, semua tertuduh yang terlibat dalam kes berkenaan mengakui kesalahan yang disabitkan ke atas mereka.
Sementara seorang lagi rakannya yang mengambil ganja bersama Yoo-hwan juga sudah diserahkan kepada pendakwa raya.
Terdahulu, Yoo-hwan memulakan debut lakonan pada 2011 dan kemunculan terakhirnya adalah menerusi filem One Line sekitar 2017.