fbpx

‘Kami sudah dua dos, cuma belum mahu booster’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN / RASUL AZLI SAMAD

SETAKAT 29 Januari 2022 jumlah kematian akibat Covid-19 di Malaysia adalah seramai 31,957 orang. Hanya lima kematian dicatatkan pada tarikh sama.

Kes harian yang mencecah angka 5,000 pun masih terkawal. Ini normal kerana orang ramai mula ke sana ke sini selepas kelonggaran diberikan kerajaan. Pesakit masuk ke kategori kritikal pun tidak ramai.

Ini merupakan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Lekuk jangkitan serta jumlah kematian negara makin menurun.

Kini negara sudah memasuki fasa suntikan dos penggalak. Seramai 11.8 juta individu telah mendapatkan suntikan setakat 30 Januari 2022.

Angka yang agak memberangsangkan sejak pemberian dos penggalak bermula pada 13 Oktober 2021 iaitu lebih tiga bulan lalu di seluruh negara.

Namun, kebelakangan ini ramai yang mempertikaikan suntikan dos penggalak tersebut. Rata-rata mengadu tidak tahan kesan sampingan selepas mengambil suntikan dos kedua.

Sebagai contoh, kalau ‘mengopi’ bersama rakan-rakan. Jika satu meja ada lima orang, tiga daripadanya mengaku ‘trauma’ dengan dos kedua dan ‘berlengah’ untuk dos ketiga.

“Aku tangguh dahulu janji temu booster, tunggu enam bulan selepas dos kedua baru nak ambil,” ujar salah seorang.

Seorang lagi membalas; “Selepas dos kedua dada terasa sempit, susah tidur malam, berat turun 12 kilogram. Lengan kiri menggigil sampai sekarang selepas booster Disember lalu.

“Hampir semua gejala hipertensi aku ada,” sambungnya.

Yang ketiga pula berkata; “Pak cik (bapa saudara) aku kena rawat dua minggu selepas booster. Kalau boleh buat masa ini tidak mahu ambil lagi booster.”

Kisah-kisah sebegini kerap dibicara atau berlegar sekeliling kita.

Mereka ini bukan golongan yang menolak vaksin, malah sudah melengkapkan dua dos suntikan seperti saranan kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Perkara seumpama ini juga turut dikongsikan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin di Instagram beliau pada 17 Januari lalu.

Jadi wajar juga saranan Mohd. Asri sekiranya KKM memandang serius dan mengkaji kesan sampingan dos penggalak kepada mereka yang mungkin tidak sesuai.

Seperti yang kita sedia maklum, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga sentiasa memantau laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI).

NPRA dalam kenyataan pada 22 Januari lalu menyatakan, daripada jumlah laporan AEFI yang diterima bagi dos penggalak ini, 51 (5.2%) kes diklasifikasikan sebagai serius iaitu bersamaan kadar 0.005 laporan bagi setiap 1,000 dos.

Persoalannya, adakah jawapan ini melegakan golongan yang berpegang kepada prinsip ‘menolak mudarat lebih besar’ itu. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI