PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir bagi sembilan negeri malam ini
MetMalaysia dalam satu kenyataan di Facebook berkata, antara negeri yang terlibat adalah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor, Sarawak dan Sabah yang dijangka bakal mengalami cuaca buruk sehingga pukul 10 malam nanti.
“Hujan lebat, ribut petir dan angin kencang sedang berlaku di Bandar Baharu, Kedah serta Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.
“Manakala di Perak, melibatkan kawasan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim,” katanya di sini hari ini.
Selain itu, keseluruhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor serta dua daerah di Johor dilaporkan sedang mengalami hujan lebat serta ribut petir ketika ini.
“Ia termasuklah Pontian dan Johor Bahru,” ujarnya.
Menurut MetMalaysia, cuaca buruk ini dilihat masih tertumpu di beberapa bahagian negeri Sarawak sejak awal petang tadi.
“Antara kawasan yang terlibat adalah Sri Aman dan Betong.
“Di Sabah pula, kawasan yang sedang mengalami hujan lebat adalah sekitar Pendalaman (Tambunan), Pantai Barat (Papar) dan Sandakan (Tongod),” katanya lagi.
Jelasnya, amaran ribut petir ini adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – K! ONLINE