KUALA TERENGGANU – Masalah kekurangan telur ayam di daerah ini masih meruncing walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan untuk mengatasinya.
Tinjauan Kosmo! di beberapa kedai runcit dan pasar raya mendapati sangat sukar untuk mencari telur ayam terutama bagi gred A, B, C dan D.
Satu-satunya bekalan telur ayam yang masih berada di pasaran ialah telur gred AA yang lebih mahal berharga 70 sen sebiji atau RM16.80 sepapan.
Seorang peniaga kedai runcit, Che Mohd. Baharum Che Mohd. Rashid, 39, berkata, dia tiada pilihan selain menjual telur ayam gred AA ekoran bekalan telur ayam gred lebih rendah terputus sepenuhnya sejak kelmarin.
“Pihak pembekal hanya menghantar telur ayam gred AA sejak semalam (kelmarin) dan memberitahu tiada stok untuk telur gred lain. Itu pun tidak banyak hanya 500 papan sehari.
“Kebiasaannya saya terima 1,000 papan sehari. Saya akui ramai pelanggan merungut telur gred A, B dan C tiada di pasaran walaupun puas mencarinya di banyak kedai,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Katanya, masalah kekurangan bekalan telur ayam itu amat memeningkan dirinya kerana tidak dapat memenuhi permintaan banyak pelanggannya.
Sementara itu, seorang pembeli, Nur Aisyah Hanafi, 35, berkata, dia sangat terbeban kerana terpaksa membeli telur ayam gred AA yang terlalu mahal.
Peniaga makanan itu berkata, perbelanjaan harian untuk keluarga dan perniagaannya meningkat hampir sekali ganda disebabkan masalah itu. -K! ONLINE