PUNE, India – Skuad wanita Filipina mencipta sejarah baharu arena bola sepak negara itu apabila layak buat kali pertama ke Piala Dunia Wanita menjelang edisi seterusnya di Australia dan New Zealand tahun depan.
Filipina meraih kejayaan dramatik itu selepas menewaskan Taiwan 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada suku akhir Piala Asia Wanita di Pune, India kelmarin.
Kemenangan di Kompleks Sukan Shree Shiv Chhatrapati itu menyaksikan Filipina mara ke separuh akhir Piala Asia buat kali pertama dan layak membuat penampilan sulung di pentas Piala Dunia Wanita 2023.
Ketua Jurulatih Filipina, Alen Stajcic muncul individu penting yang memastikan kejayaan negara tersebut yang kini muncul pasukan kedua dari rantau Asia Tenggara selepas Thailand beraksi di Piala Dunia Wanita.
“Ia satu pencapaian yang amat menakjubkan berjaya diraih oleh kumpulan pemain ini untuk mencipta satu sejarah hebat buat Filipina.
“Sekarang setiap kanak-kanak di Filipina pastinya akan menjadikan para pemain ini sebagai inspirasi buat mereka. Mungkin ini akan menjadi titik mula bola sepak wanita Filipina.
“Saya tidak mampu berkata apa-apa selain berbangga dengan kejayaan bersejarah ini. Mereka adalah generasi baharu bola sepak wanita Filipina,” kata pengendali dari Australia itu.
Sebagai rekod, tiga lagi pasukan yang berjaya mara ke separuh akhir Piala Asia Wanita 2022 iaitu Korea Selatan, China dan Jepun turut layak ke Piala Dunia Wanita 2023. – AGENSI