fbpx

Datuk biar cucu di belakang kenderaan sekadar suka-suka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki yang membiarkan dua cucu di ruang kargo kenderaan Toyota Hilux berjaya dikesan di Jitra semalam

ALOR SETAR – Polis berjaya mengesan pemandu yang membawa dua kanak-kanak di ruangan kargo sebuah pacuan empat roda di lampu isyarat Simpang Tiga Jalan Jitra dekat Kubang Pasu semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya menerima satu rakaman video yang tular di laman media sosial itu pada pukul 2.26 petang semalam.

Katanya, rakaman berdurasi 26 saat tersebut memaparkan kenderaan jenis Toyota Hilux membawa dua penumpang kanak-kanak di ruang kargo belakang tanpa bertutup serta tanpa pengawasan orang dewasa yang boleh mendatangkan bahaya.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di lampu isyarat Simpang Tiga Jalan Jitra berhampiran Balai Polis Jitra Lama.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu mengesan suspek seorang lelaki di Kampung Kota Mengkuang, Wang Tepus Jitra pada pukul 3 petang semalam,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan suspek yang juga datuk kepada kedua-dua kanak-kanak itu mengaku memandu kenderaan tersebut sambil membiarkan dua cucu perempuan duduk di belakang hanya sekadar suka-suka.

“Pihak polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

“Sebagai pengajaran bersama pihak polis menyeru agar ibu bapa mengambil iktibar daripada kejadian ini supaya lebih bertanggungjawab dengan keselamatan kanak-kanak,” katanya.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI