POPULARITI yang dikecapi lelaki bernama Zamshuri Ramli menerusi drama bersiri Skuad Elit sekitar 2003 ternyata masih bersisa.
Biarpun sudah hampir 20 tahun berlalu, masih ramai yang mengingati lakonan mantap Zamshuri di samping pelakon Skuad Elit lain seperti Rita Rudaini, Tony Eusoff, Serina Redzuan dan ramai lagi.
Kerjaya seni Zamshuri atau nama sebenarnya Nor Zamshuri Ramli, 51, berkembang baik ketika itu menyaksikannya menjadi pilihan penerbit untuk membintangi drama dan filem mereka.
“Saya bersyukur kerana boleh dikatakan tak menang tangan dengan tawaran berlakon ketika itu.
“Filem-filem lakonan saya antaranya ialah Don (Bollywood), Misi 1511, Gerak Khas The Movie 3 dan Kepulangan.
“Saya juga pernah bergelar penyampai radio untuk IKIM serta menghasilkan album secara berduet dengan Rashdan Baba berjudul Langkah yang berkonsep motivasi,” katanya.
Peralihan masa menyaksikan Zamshuri memperlahankan aktiviti lakonan dan beralih kepada kerjaya lain seperti membuka perniagaan berkaitan latihan dan pembangunan insan berunsur motivasi.
“Saya pernah memperlahankan kerjaya lakonan selama dua tahun atas beberapa faktor antaranya menjaga bapa yang uzur dan kemudian arwah meninggal dunia pada 2011.
“Saya juga aktif sebagai penceramah motivasi bebas. Saya terpaksa fokus pada perkara yang lebih penting dan menjadikan lakonan sebagai kerjaya kedua.
“Drama terakhir saya ialah Dendam Sarakit dan Transit Terakhir yang boleh ditonton menerusi YouTube.
“Bagaimanapun saya macam nak buat ‘comeback’ kerana rasa rindu dengan semua rakan-rakan media dan artis,” katanya.
NGO
Sebagai penceramah motivasi, Zamshuri berbangga apabila baru-baru ini, menerima anugerah daripada Asiapez sebagai Top Motivator Award dan Top Performance untuk tahun 2021.
Dia yang aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO) turut bersyukur apabila dilantik sebagai Pengarah Komunikasi Korporat untuk Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM).
Persatuan yang ditubuhkan sejak 2013 tersebut cenderung menguruskan permasalahan hutang dan liabiliti pengguna yang dihadapi rakyat Malaysia.
“Terima kasih kepada Presiden 4PM, Rosland Mohd. Arif kerana memberikan kepercayaan kepada saya menggalas tanggungjawab ini.
“Saya akan menggunakan sedikit sebanyak pengalaman saya yang ada untuk membantu 4PM.
“NGO yang berpusat di Ampang ini satu-satunya NGO di Malaysia yang menjadi pakar mediasi bagi mengatasi pelbagai masalah perbankan, urusan lelongan, kebangkrapan, penstrukturan dan penjadualan semula hutang-hutang,’ katanya.
Menurutnya, dalam masa sembilan tahun, 4PM telah menjadi rakan Jabatan Insolvensi Malaysia, Mahkamah Timbang Tara Malaysia dan juga menjadi rakan Pasukan Tindakan Cemas Malaysia.
“Alhamdulillah pelantikan ini memberikan sedikit peluang kepada saya untuk membawa NGO 4PM lebih menyeluruh ke seluruh Malaysia selepas 9 tahun.
“NGO 4PM satu-satunya NGO dalam negara kita yang aktif dan beri tumpuan sepenuhnya pada permasalahan hutang piutang yang dialami oleh masyarakat.
“NGO 4PM menjadi pusat sehenti (one stop centre) untuk menyelesaikan permasalahan perbankan, kredit sivil dan permasalahan konsumer,” katanya.
Zamshuri berkata, perkhidmatan NGO 4PM disediakan untuk menghentikan tindakan sivil, perundangan dan gangguan pengutip hutang.