fbpx

Beli harga RM7.5 juta, jual RM9.5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sajat mahu melelong banglo mewah miliknya pada harga RM9.5 juta.

PETALING JAYA – Episod kehidupan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman kembali menjadi perhatian apabila figura itu mengesahkan mahu menjual banglo mewah miliknya pada harga RM9.5 juta.

Banglo mewah yang beralamat di Jalan Polo, Kota Damansara itu sebelum ini dibeli Sajat daripada
usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri pada tahun 2017 pada harga RM7.5 juta.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Instagram miliknya semalam, Sajat mencari
individu yang berminat untuk membeli rumahnya menerusi proses lelongan yang akan diuruskan pihak tertentu.

Katanya, jualan banglo bernilai RM9.5 juta itu juga boleh dikurangkan nilainya berdasarkan
budi bicara pihak mereka.

“Harga lelongan (banglo) ialah sebanyak RM9.5 juta, tetapi pemilik boleh bertolak-ansur untuk rundingan harga lebih baik,” kongsinya.

Sajat yang kini berada di Australia berkata, orang ramai yang berminat untuk membeli banglo
berkenaan boleh menghubungi pihaknya untuk melihat secara lebih lanjut aset berkenaan.

“Pembeli juga akan ditawarkan pendaftaran percuma selain syarat dan terma boleh dirunding bagi memastikan aset tersebut dijual,” ujarnya.

Bagaimanapun, tarikh jualan itu belum diputuskan.

Sementara itu, Zati Zulkifli daripada NHA Advocates & Solicitors yang terlibat dalam proses
lelongan aset milik Sajat sebelum ini memaklumkan, pihaknya tidak terlibat mengenai hebahan
penjualan banglo mewah milik usahawan kosmetik itu.

“Ia adalah urusan antara pemilik rumah dengan pihak bank,” katanya kepada Kosmo!.

Pada Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini membenarkan notis kebankrapan terhadap Sajat diserahkan secara penyampaian ganti melalui notis iklan dan penampalan.

Notis dikeluarkan susulan kegagalan usahawan terbabit membayar penghakiman sebanyak
RM200,000 kepada bekas stokis utama iaitu OWA Resources.

Berikutan itu, mahkamah kemudian mengarahkan harta Sajat disita bagi menuntut pampasan
sebanyak RM200,000 yang gagal dibayar kepada OWA Resources.

Sebelum ini juga, Sajat turut mencuri tumpuan apabila bertindak melarikan diri ke Thailand sebelum ditahan pihak imigresen negara itu pada 8 September tahun lalu.

Sajat kemudiannya berpindah ke Australia selepas menyerahkan kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dan memaklumkan dirinya adalah seorang pelarian.

Kontroversi melibatkan Sajat bermula apabila Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada
Februari tahun lalu mengeluarkan waran tangkap terhadap Sajat kerana gagal hadir pada prosiding kes berpakaian wanita. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI