KOTA BHARU – Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seramai 16 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk dua wanita di dalam sebuah lori yang dipercayai sedang dalam perjalanan ke Lembah Klang di Kampung Batu Karang, Pasir Mas dekat sini kelmarin.
Dalam tangkapan pada pukul 6 petang itu, anggota PGA turut menangkap pemandu dan kelindan lori berusia dalam lingkungan 30-an yang turut dipercayai berperanan sebagai tekong darat membawa masuk kesemua PATI tersebut.
Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Mat Shukor Yusof, pihaknya bertindak menahan lori jenis Isuzu itu selepas menerima maklumat mengenai kegiatan penyeludupan PATI.
Menurutnya, selepas kenderaan itu ditahan, pemandunya dilihat berada dalam keadaan mencurigakan sebelum anggota PGA melakukan pemeriksaan di bahagian belakang lori tersebut.
“Pemeriksaan lanjut di bahagian muatan lori itu telah membawa kepada penemuan seramai 14 orang lelaki dan dua wanita PATI warga Myanmar dengan kesemuanya berusia dalam lingkungan 20-an.
“Berdasarkan siasatan, kesemua PATI itu dipercayai akan dibawa ke Lembah Klang untuk bekerja di sana. Selain itu, pemandu lori berkenaan juga dipercayai mengambil upah daripada pihak tertentu untuk membawa kesemua PATI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. -K! ONLINE