SEBERANG PERAI – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun antara 335 penunggang motosikal yang dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Tahun Bahari Cina 2022 di sini semalam.
Remaja terbabit dikatakan menunggang motosikal ibunya secara bersendirian bagi merentasi Jambatan Pulau Pinang untuk menuju ke bahagian pulau.
Pengarah JPJ negeri, Adenan Md. Isa berkata, pada operasi itu, pihaknya mengeluarkan 369 notis saman bagi pelbagai kesalahan daripada 538 buah motosikal yang diperiksa di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang dan Plaza Tol Juru.
Katanya, sebanyak 296 notis adalah membabitkan kesalahan teknikal antaranya nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi dan pengubahsuaian motosikal.
“Kita turut mengesan dua motosikal yang mana pemiliknya disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu, tidak mempunyai lesen dan cukai jalan serta insurans kenderaan tamat tempoh.
“Salah seorang daripadanya mengakui menggunakan nombor pendaftaran palsu untuk lari daripada pihak bank. Selain itu, kita turut menyita 11 motosikal menerusi operasi di kedua-dua lokasi,” katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang di sini malam tadi.
Operasi yang bermula pukul 8 malam sehingga 12 tengah malam itu turut disertai beberapa agensi lain antaranya Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.- K! ONLINE