PETALING JAYA – Kumpulan Dolla mencipta sejarah tersendiri apabila tiket persembahan khas mereka, Dolla Mini Showcase yang dijadualkan berlangsung pada 19 Februari nanti habis dijual hanya dalam tempoh lima minit.
Seorang anggotanya, Angel berkata, sambutan luar biasa terhadap persembahan yang dijadualkan berlangsung di Nero Event Space, PJPAC, 1Utama itu menunjukkan sokongan padu kumpulan peminat mereka iDolla, tidak pernah berubah.
“Tiket yang dijual pada harga RM35 bagi tempat duduk terhad serta tiket terhadRM55 (berserta sesi ramah mesra atau ‘meet and greet’) telah pun habis dijual lima minit selepas diumumkan pada jam 12 tengah hari, 30 Januari 2022.
“Kami berasa sangat gembira kerana akhirnya diberi peluang membuat persembahan kami sendiri khusus buat penggemar dan penyokong, iDolla kami.
“Lagi pun, kami ‘puteri’ Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana kami muncul semasa PKP dilaksanakan. Jadi peluang ini sangat berharga,” katanya.
Selain Angel, kumpulan yang mencetuskan fenomena tersendiri dalam tempoh tidak sampai dua tahun ditubuhkan sejak 2019 itu turut dibarisi tiga lagi wanita cantik berbakat besar iaitu Tabby, Syasya dan Sabronzo.
Bagi Tabby pula, jualan tiket persembahan yang laris bagai goreng pisang panas membuatkan hatinya sebak sekali gus teruja menunggu tarikh keramat itu.
“Sejujurnya kami benar-benar terkejut dan tidak menyangka tiket kami akan laku dan habis dijual sebegitu cepat iaitu dalam tempoh lima minit sahaja.
“Jadi kami harap peminat kami khasnya iDolla akan menikmati malam tersebut dengan sepenuh hati apatah lagi ini juga merupakan persembahan secara langsung Dolla pertama kali di depan mereka.
“Tentu saja kami berempat tidak sabar untuk menikmati momen terindah menghibur peminat yang sedari awal lagi memberikan sokongan sepenuh hati,” katanya.
Berkongsi mengenai ilham penganjuran konsert, Syasya berkata, semuanya bermula daripada syarikat rakaman mereka, Universal Music Malaysia.
“Kami memang tak pernah bertemu peminat setia kami yang dikenali sebagai iDolla secara langsung.
“Gara-gara muncul sewaktu fasa Perintah Kawalan Pergerakan sekitar pertengahan 2019, kami hanya dapat berinteraksi dengan peminat hanya menerusi medium maya.
“Sudah tentu ‘showcase’ ini sebagai satu peluang keemasan yang membolehkan Dolla untuk mendekati mereka dan berinteraksi secara langsung,” ulasnya.
Selain persembahan dalam beberapa versi lain serta mutu vokal yang dipertingkatkan, terdapat beberapa kejutan lain bakal dipertontonkan.
“Ada banyak kejutan yang akan kami tampilkan namun kami tak mahu beritahu kerana ia tidak akan jadi istimewa jika kami beritahu sekarang. Jadi nantikan malam persembahah nanti,” jelas Tabby pula.
Terdahulu, nama Dolla meniti di bibir ramai selepas tampil bersama single pengenalan Dolla Makes You Wanna yang berjaya melonjak ke tangga carta lagu tanah air.
Setahun kemudian mereka melancarkan pula lagu Impikan, yang turut dihasilkan dalam versi bahasa Inggeris dengan judul Watch Me Glow pada Oktober 2020.
Populariti Watch Me Glow selain tampil bersama muzik serta gaya tersendiri melayakkan Dolla menjadi kumpulan wanita pertama yang tampil dipapan iklan digital di New York Times Square, Amerika Syarikat. – K! ONLINE