SEOUL – Pihak berkuasa di seluruh Asia menggesa orang ramai tidak merantau untuk berkumpul bersama keluarga semasa perayaan Tahun Baharu Cina pada tahun ini berikutan kebimbangan penularan varian Covid-19 Omicron, lapor akhbar The Straits Times semalam.
Acara perayaan seperti pesta dan pertunjukan bunga api turut dibatalkan bagi mengelakkan perhimpunan besar-besaran sekali gus membendung penularan jangkitan Covid-19.
Pihak berkuasa di China turut membatalkan Chun Jie atau Festival Musim Bunga yang merupakan musim perayaan yang paling penting kepada rakyat negara itu. Ini dilakukan untuk mencegah sebarang lonjakan jangkitan yang boleh menjejaskan temasya Olimpik Musim Sejuk Beijing yang akan bermula pada 4 Februari ini.
Walaupun melaksanakan dasar sifar Covid-19 yang ketat, China masih mencatatkan 2,127 kes aktif koronavirus setakat 29 Januari lalu.
Dalam pada itu, Korea Selatan turut mengenakan sekatan pergerakan dengan melarang perhimpunan lebih daripada enam orang, manakala operasi perniagaan seperti restoran dan kafe dibenarkan sehingga pukul 9 malam sahaja.
Menurut Perdana Menteri Korea Selatan, Kim Boo-kyum pada 24 Januari lalu, aktiviti pulang ke kampung halaman adalah ibarat mencurah petrol ke dalam api yang marak.
Juga bimbang dengan penularan Covid-19, Manila bertindak mengharamkan pertunjukan tarian naga, bunga api dan perhimpunan besar-besaran di kawasan Chinatown di daerah Binondo yang didiami 1.35 juta kaum Cina di Filipina.
Mengumumkan pembatalan semua aktiviti pada malam tahun baharu di Binondo, Datuk Bandar Manila, Isko Moreno menggesa pegawai-pegawai untuk menguatkuasakan peraturan dan orang ramai mematuhinya bagi tujuan keselamatan.
Pertunjukan bunga api di Hanoi untuk meraikan perayaan Tet iaitu tahun baharu di Vietnam turut dibatalkan bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19 dalam kalangan penduduk.
Namun, selepas empat gelombang jangkitan dan lebih 90 peratus golongan dewasa divaksin, pemerintah akhirnya mengizinkan orang ramai untuk menyambut perayaan Tet bersama keluarga masing-masing.
Sekatan perjalanan telah diminimumkan bagi membolehkan ratusan ribu orang pulang ke kampung halaman semasa cuti perayaan. – Agensi