PETALING JAYA – Tular dalam kalangan kaum ibu yang gemar menggunakan sabun cucian dalam bentuk kapsul atau dikenali sebagai ‘sabun candy’ yang kini lebih mudah untuk digunakan ketika mencuci pakaian.
Tampil dengan pelbagai warna dan rupa bentuk yang menarik sering disalah tafsir oleh kanak-kanak dengan menganggap ia sebagai makanan ringan yang boleh dimakan.
Menerusi perkongsian seorang pegawai perubatan, Dr. Redza Zainol di Twitter, bercerita mengenai pengalamannya apabila berdepan dengan situasi seorang kanak-kanak termakan ‘sabun candy’.
Dalam ciapan yang dimuat naik, ketika sedang bertugas, beliau didatangi seorang wanita yang terkejut melihat anaknya termakan ‘sabun candy‘.
Menurutnya, wanita itu memaklumkan ketika sedang sibuk di dapur, secara tiba-tiba terdengar suara tangisan anaknya dan kelihatan mulut serta pakaiannya sudah dipenuhi dengan sabun tersebut.
“Masa maknya di dapur, tiba-tiba terdengar anak menangis kuat dan bila diperiksa dalam mulut penuh dengan sabun, meleleh-leleh ke baju dan seluar.
“Apabila datang dekat, bau sabun kuat datang dari dalam mulut anak. Paniknya tak payah cakap, tak tahu nak buat apa,” ciapnya.
Tambah Redza, selepas merujuk ke Pusat Racun Negara, mendapati bahawa cecair tersebut mengandungi bahan pencuci dan sabun.
Katanya, antara kesan yang boleh dialami oleh si pemakan termasuklah hakisan mukosa mulut sehingga perlu bergantung pada alat bantuan pernafasan jika ia agak serius.
“Selain risiko lapisan mukosa mulut dan laluan pernafasan yang terhakis, ia juga boleh membawa kecederaan kepada usus serta pengsan atau hilang kesedaran,” tulisnya.
Sehubungan itu, beliau memohon agar ibu bapa bertanggungjawab menyimpan segala bahan pencuci di tempat yang tidak boleh dicapai kanak-kanak agar kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi.
Dalam pada itu, Redza turut berkongsi langkah-langkah perlu diambil sekiranya mengalami detik cemas seperti kejadian tersebut.
“Basuh mulut anak dengan air berkali-kali dan tukar baju dan seluar yang dah terkena bahan pencuci tu.
“Kemudian segera membawa mereka ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,”ciapnya lagi. – K! ONLINE