BEKAS ratu cantik Miss Korea, Seo Ye-jin baru-baru ini dituduh kerana memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kemalangan.
Personaliti televisyen itu dipercayai memandu mabuk sebelum kereta Mercedes Benz miliknya melanggar pokok di bahu jalan dekat Yangjaecheon-ro Seoul, Gangnam-gu pada Jumaat lalu.
Menurut SBS, siasatan awal mendapati kandungan alkohol dalam badan ratu cantik itu amat tinggi setelah melakukan ujian alat pernafasan.
Paras alkohol dalam badan Ye-jin yang mencecah 0.108 peratus menyebabkan lesen memandunya ditarik semula.
Sementara itu, Balai Polis Seoul Suseo mengesahkan Ye-jin akan dituduh atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk dan siasatan selanjutnya akan dijalankan.
Terdahulu, Ye-jin memenangi tempat kedua dalam rancangan ratu cantik, Miss Korea 2018 dan pernah muncul dalam KBS Good Morning Live.