PORT DICKSON – Tindakan seorang pelajar sekolah membuat aksi berbahaya ala ‘Superman’ membawa padah apabila ditahan polis di kilometer (km) 24, Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, remaja lelaki berusia 17 tahun yang merupakan pelajar sebuah sekolah di Cheras, Kuala Lumpur itu ditahan setelah menyerah diri di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson pada pukul 9.45 pagi tadi.
“Remaja itu menyerah diri sejurus menyedari dia diburu pihak polis susulan sebuah video tular menunjukkan aksi sekumpulan motosikal dengan salah seorang penunggang membuat aksi ‘superman’ dan berbahaya pada 29 Januari lalu.
“Polis kemudian mengesan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss yang membuat aksi berbahaya itu semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu atau menunggang secara melulu dan bahaya.
“Jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara kurang lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000 termasuk hilang kelayakan lesen memandu lebih lima tahun,” katanya.-K! ONLINE