fbpx

Pantai Thailand diisytihar kawasan bencana akibat tumpahan minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PETUGAS-PETUGAS membersihkan tumpahan minyak mentah di pantai Mae Ram Phueng yang disebabkan oleh kebocoran pada saluran paip dasar laut. – AFP

BANGKOK –  Pantai di Teluk Siam diisytiharkan sebagai kawasan bencana setelah berlakunya kebocoran saluran paip dasar laut yang mengakibatkan tumpahan minyak secara besar-besaran, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Tentera laut kini bekerjasama dengan syarikat Star Petroleum Refining Public Company Limited (SPRC) untuk mengatasi kebocoran yang berlaku dengan tumpahan minyak dikatakan masih mencemari pesisir pantai itu.

Kebocoran pada paip milik SPRC yang berlaku kira-kira pukul 9 malam (waktu tempatan) pada Selasa minggu lalu itu akhirnya dapat dikawal, namun dianggarkan sehingga 50,000 liter minyak tumpah ke dalam laut.

“Pihak kami dan syarikat tersebut masih berusaha untuk mengurangkan kesan kebocoran dengan menyedut minyak yang tertumpah serta menyembur cecair dispersan,’’ jelas timbalan komander Tentera Laut, Laksamana Muda Artorn Charapinyo.

Menurut laporan agensi berita Reuters, kira-kira 150 pekerja SPRC dan 200 anggota tentera laut dikerahkan ke wilayah berkenaan untuk membersihkan pantainya.

Sebanyak 12 kapal tentera laut serta tiga kapal awam turut dilaporkan terlibat.

Terdahulu, kejadian serupa telah berlaku di pantai selatan California yang disifatkan sebagai ‘malapetaka alam sekitar’ oleh Datuk Bandar Huntington Beach.

Tumpahan yang berlaku menyebabkan ikan-ikan mati dan bangkai burung bertaburan di atas pasir pantai yang dikotori minyak.

Sebanyak 572,807.34 liter minyak mentah tumpah dan telah merebak di kawasan berukuran sehingga 33.4 kilometer persegi di lautan Pasifik.

Bandar tepi pantai yang terletak kira-kira 64 kilometer ke selatan Los Angeles turut terkesan akibat tumpahan yang berlaku. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI