KUALA LUMPUR – Jagoan lompat tinggi kebangsaan, Nauraj Singh Randhawa sememangnya berada dalam kelas tersendiri pada tahun ini.
Apa tidaknya, atlet dari Johor berusia 30 tahun itu berjaya memadam rekod lompat tinggi dalam dewan kebangsaan sebanyak dua kali dalam tempoh tiga hari.
Terbaharu, Nauraj memperbaharui rekod tersebut dengan catatan 2.27 meter (m) ketika meraih tempat kedua pada kejohanan Hvezdy v Nehvizdech yang diadakan di Tipsport Arena di Prague, Republik Czech semalam (30 Januari).
Catatan itu sekali gus memadam rekod lama yang baru dilakukan Nauraj tiga hari lepas dengan catatan 2.22m dalam kejohanan Kladno Indoor pada Khamis lalu (27 Januari).
“Saya menjadikan pengalaman sebagai kelebihan kerana ini adalah kali ketiga saya bertanding pada kejohanan ini.
“Saya akui trek yang digunakan di sini agak sukar dan bukannya kegemaran saya. Penampilan kali ketiga ini menjadikan saya lebih tenang.
“Saya gembira dengan catatan baharu 2.27m iPB (rekod peribadi dalam dewan) ini,” menurut kenyataan Nauraj yang dipetik daripada laman Instagram peribadinya.
Pingat emas acara itu menjadi milik atlet Belgium, Thomas Carmoy, manakala gangsa pula dimenangi JuVaughn Harrison dari Amerika Syarikat.
Sebagai rekod, catatan 2.22m dilakukan Nauraj sebelum ini sudahpun melayakkannya ke Sukan SEA Hanoi di Vietnam yang akan bermula 12 hingga 23 Mei depan.
Catatan baharu 2.27m kali ini pastinya mencerahkan peluang Nauraj yang mungkin sudah sebelah kaki untuk layak bertanding pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham (28 Julai – 8 Ogos) dan Sukan Asia di Hangzhou, China (10 – 25 September). – K! ONLINE