fbpx

Maira nekad dalami ilmu dalam bidang sains sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAIRA berhasrat untuk menjadi ahli fisioterapi satu hari nanti.

LINCAH dan ceria. Itu perwatakan yang dapat dilihat pada pemilik nama Che Shamsuzila Humarah Che Samsuzuha.

Masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam jurusan Pengurusan Sains Sukan dan Rekreasi, gadis muda berusia 19 tahun ini aktif bersukan sejak di bangku sekolah.

Melihatkan perwatakan dan minatnya itu juga, tidak hairanlah jika anak kedua daripada lima beradik ini memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut biarpun dia merupakan pelajar cemerlang dan sering mendapat keputusan memberangsangkan dalam akademik.

“Sejak kecil saya gemar bersukan dan melakukan aktiviti lasak seperti bermain di taman permainan serta berbasikal.

“Setiap petang, saya akan beriadah bersama adik-beradik yang lain dan itu dijadikan sebagai hobi.

“Apa yang membuatkan saya nekad mengambil jurusan ini adalah kerana ingin menambah ilmu dalam bidang Sains Sukan. Alhamdulillah, sekarang saya masih menuntut di semester ketiga.

“Mujur keputusan ini mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa dan adik-beradik kerana mereka tahu minat saya sejak kecil,” katanya memulakan bicara.

Menurutnya, bakatnya dalam bidang sukan mula dilihat sejak di bangku sekolah apabila dia bukan sahaja aktif di peringkat sekolah, malahan pernah mewakili daerah Kota Bharu, Kelantan.

Antara sukan yang sering disertainya adalah bola jaring, bola keranjang, sofbol, acara lari berpagar, lari berganti dan lompat tinggi.

Menariknya, hampir kesemua penyertaan itu membolehkan gadis muda ini membawa pulang pingat emas dan perak.

Biarpun aktif bersukan hingga ke hari ini, namun gadis yang mesra dipanggil Maira ini mengakui lebih senang dengan sukan bola jaring.

Mahir dalam sukan bola jaring, Maira dilabel sebagai sharp shooter dalam kalangan rakan-rakan kerana boleh memasukkan bola dalam satu balingan sahaja.

Memegang posisi Goal Attack (GA) setiap kali berlawan, kata Maira, posisi tersebut sesuai dengan ketinggian dirinya.

Bukan itu sahaja, ia juga mampu menguji stamina dirinya memandangkan banyak pergerakan yang perlu dilakukan oleh GA berbanding posisi lain.

Tangkas dan memiliki mata yang tajam setiap kali perlawanan, gadis ini dilabel sebagai sharp shooter dalam kalangan rakan-rakan kerana kemahirannya memasukkan bola ke dalam jaring dengan sekali balingan sahaja.

Bercita-cita ingin menjadi ahli fisioterapi suatu hari nanti, Maira berharap penglibatannya dalam industri sukan membolehkan dia membantu mana-mana pihak untuk mengembangkan lagi sektor itu di negara ini.

Dalam pada itu, menurut Maira, dia menjadikan selebriti wanita popular tanah air, Neelofa sebagai idola.

Ini kerana katanya, selain memiliki raut wajah yang cantik, artis tersebut juga bijak menguruskan perniagaan dan tetap menjaga imej sebagai seorang model dengan menutup aurat.

Jelasnya, melihat kejayaan Neelofa sebagai selebriti berhijab yang berpengaruh, ia menunjukkan bahawa wanita berhijab juga boleh berjaya ke peringkat tertinggi.

Kata Maira lagi, dengan menjadikan selebriti tersebut sebagai idola, dia yakin suatu hari nanti dia mampu beristiqamah dalam melakukan ibadah di samping mengejar cita-cita yang diimpikan.

Biarpun aktif bersukan dan sibuk mengulang kaji pelajaran, namun gadis ini tidak pernah lupa untuk terus mengikuti perkembangan semasa, terutamanya apa yang berlaku di negara ini.

Bimbang dengan penularan wabak Covid-19 yang masih aktif sehingga kini, kata Maira, sebagai rakyat, individu perlu mematuhi arahan yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi menghindarkan diri daripada dijangkiti virus berbahaya tersebut.

“Vaksinasi sangat penting dalam usaha mencegah penularan wabak berkenaan.

“Meskipun mengambil vaksin tidak memberi penyembuhan sepenuhnya, sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan kadar keseriusan jangkitan Covid-19.

“Pun begitu, individu perlu mempraktikkan langkah-langkah pencegahan seperti memakai pelitup muka sepanjang masa.

“Saya harap pandemik ini akan segera berakhir bagi membolehkan kita semua menjalani kehidupan tanpa ada rasa takut seperti sebelum ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI