Saudara Pengarang,
Persatuan Anti Diskriminasi Dan Salah Laku menerima baik pengumuman Perdana Menteri untuk tidak menaikkan tarif pengguna elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Pengumuman itu menunjukkan dan membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kesusahan yang dihadapi rakyat ketika ini.
Bagaimanapun, sebagai rakyat, kita harus sentiasa menjadi pengguna yang bijak dalam penggunaan elektrik dan membudayakan amalan berjimat.
Tarif tidak dinaikkan bukan alasan untuk pengguna membazir, gunakan secara berhemah dan cuba kurangkan penggunaan.
Saya menjangkakan harga barangan tetap juga akan naik kerana bermula 1 Februari 2022, kadar surcaj sebanyak 3.7 sen per kilowatt jam (KWh) akan dikenakan kepada pihak industri dan komersial.
Penambahan surcaj ini, pasti akan diterjemahkan melalui kenaikan harga barang yang akhirnya tetap menjejaskan pengguna akhir.
Apapun, keputusan Perdana Menteri dan Suruhanjaya Tenaga yang telah memperuntukkan subsidi tenaga sebanyak RM715 juta melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) kepada pengguna domestik amat dihargai.
Kita pengguna harus sedar bahawa akan ada penambahan pengguna domestik daripada sejumlah 9 juta di kala ini, dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menggunakan subsidi ini secara bijaksana agar dapat dimanfaatkan pada jangka waktu semaksima dan kepada seramai mungkin pengguna.
Datuk Mohd. Fakhrunizam Ibrahim
Pengerusi Persatuan Anti Diskriminasi Dan Salah Laku