Saudara Pengarang,
Saya merupakan penduduk Bukit Subang, Shah Alam, Selangor terpanggil untuk mengadu mengenai keadaan jalan raya yang teruk dan berlubang yang menjadi laluan ulang-alik penduduk sekitar setiap hari.
Jalan yang dimaksudkan adalah Jalan Sungai Buloh bermula susur keluar Bukit Subang hingga ke susur Jalan Pekan Subang dengan jarak kira-kira lima kilometer.
Laluan itu merupakan jalan alternatif selain Lebuh Raya Guthie dan laluan biasa bagi penduduk di kawasan berkenaan.
Banjir besar dan hujan lebat melanda Shah Alam akhir Disember tahun lalu membuatkan keadaan Jalan Sungai Buloh bertambah parah.
Selepas kejadian hujan lebat itu, keadaan laluan sejauh lima kilometer itu berlubang seperti baru lepas kena bom.
Dua minggu kemudian, saya menyaksikan sendiri jalan tersebut telah ditampal tetapi seolah-olah melepaskan batuk di tangga sahaja.
Kontraktor yang ditugaskan itu hanya menampal ratusan lubang yang berlubang dengan menggunakan penggelek dengan tangan sahaja.
Sekarang ini, lubang-lubang itu kembali pecah dan membahayakan pengguna jalan raya terutama pada waktu malam.
Tidak bolehkah laluan itu ditampal baharu keseluruhannya dan tidak lagi seperti ‘tikus membaiki labu’.
Dua minggu sudah rosak balik, jalan berkenaan memang telah lama teruk dan hujan lebat baru-baru ini telah memburukkan lagi keadaan.
Apa salahnya menampal laluan berkenaan dengan lebih baik, duit menampal pun tidak perlu diguna berulang kali.
Qaseh Sejati
Sungai Buloh, Selangor