SHAH ALAM – Jumlah kes kemalangan jalan raya di Selangor menurun sebanyak 29.5 peratus sepanjang Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina kali ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, berdasarkan tempoh empat hari pelaksanaannya merekodkan sebanyak 1,163 kemalangan jalan raya berbanding 1,649 kes dalam Op Selamat 16 bagi tempoh yang sama.
“Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya turut menurun dengan empat sahaja berbanding 11 kematian sebelum ini.
“Ini menunjukkan orang ramai semakin mempunyai kesedaran tentang pemanduan berhemah di jalan raya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau pelaksanaan Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina di tapak bekas Plaza Tol Sungai Rasau, hari ini.
Op Selamat 17 berlangsung selama 10 hari bermula 28 Januari hingga 6 Februari depan.
Arjunaidi menambah, pihaknya turut melakukan tindakan penguatkuasaan di beberapa jalan di Selangor yang sering berlaku kemalangan seperti di Persiaran Tengku Ampuan Rahimah, Persiaran Surian dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Mengulas mengenai tinjauan Op Selamat itu, beliau memaklumkan sejumlah 250 saman yang telah dikeluarkan dengan kesalahan paling banyak adalah tidak menggunakan lorong motosikal. -K!ONLINE