SEBERANG PERAI – Operasi memadamkan kebakaran tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal di sini yang memasuki hari ke-20 hari ini dijangka ditamatkan dalam masa terdekat apabila kira-kira 98 peratus kebakaran telah dipadamkan.
Tinjauan mendapati asap daripada kebakaran itu telah berkurangan dan tidak lagi dapat dilihat dari jarak jauh.
Difahamkan usaha pemadaman akan diteruskan dengan kerja-kerja pengepam air dan menutup dengan tanah sehingga api dapat dipadamkan sepenuhnya.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh, kerja-kerja pemadaman akan diteruskan oleh pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai dan PLB Terang Sdn. Bhd.
“Berdasarkan maklumat daripada Pengerusi Bencana Daerah Seberang Perai Selatan, kebakaran hampir terpadam keseluruhan iaitu sebanyak 98 peratus,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan SK Bakap Indah masih beroperasi dengan menempatkan penduduk dari Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru.
Terdahulu, media melaporkan kejadian kebakaran sejak hampir tiga minggu lalu itu membabitkan kawasan seluas kira-kira 11.3 hektar daripada keseluruhan 16.2 hektar.
Kejadian itu menyebabkan sebanyak 86 keluarga dengan kira-kira 400 penduduk yang tinggal berdekatan terpaksa dipindahkan bagi memastikan keselamatan nyawa mereka selain sepuluh buah sekolah turut ditutup tiga hari. – K! ONLINE