MARANG – Seorang wanita yang mengalami kemurungan dikhuatiri hilang selepas kelibatnya gagal dikesan di sebuah pondok Kampung Batu Penunggul di sini sejak empat hari lalu.
Kehilangan Rohana Abu Bakar, 49, disedari salah seorang daripada tiga anaknya yang menghantar makanan buat ibunya di pondok itu pada pukul 4 petang, Khamis lalu.
Difahamkan Rohana yang mengalami kemurungan memilih untuk menetap di pondok berkenaan sejak beberapa tahun lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Zulbahry Sulong berkata, kehilangan Rohana hanya dimaklumkan ahli keluarganya pada semalam.
“Aduan berhubungan kehilangan mangsa (Rohana) dilakukan di Balai Polis Bukit Payung di sini pada pukul 1.03 tengah hari semalam.
“Sehubungan itu, kita telah menubuhkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 10 pagi tadi,” katanya ketika ditemui di markas SAR di Kampung Batu Penunggul di sini hari ini.
Zulbahry berkata, seramai 65 orang pegawai dan anggota pelbagai agensi bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung terlibat dalam gerakan mencari Rohana. – K! ONLINE