PETALING JAYA – Penduduk di lima negeri terlibat dinasihatkan untuk terus berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga ekoran amaran hujan lebat serta ribut petir yang dijangka berlaku sehingga lewat petang hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, amaran ribut petir di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan akan berlanjutan sehingga pukul 6 petang nanti.
Menurut MetMalaysia, cuaca buruk ini melibatkan kawasan Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim di Perak.
“Di Selangor, melibatkan kawasan Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.
“Selain itu, hujan lebat serta ribut petir dilihat tertumpu bagi keseluruhan kawasan di Kuala Lumpur serta Putrajaya,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, bagi Negeri Sembilan melibatkan kawasan Jelebu, Seremban dan Port Dickson.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” ujarnya.
Dalam pada itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora peringkat pertama melibatkan kawasan perairan Condore, Reef North, Layang-Layang, Labuan, Palawan dan Sulu bermula 2 hingga 7 Febuari 2022.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” katanya lagi. – K! ONLINE