fbpx

Hati-hati, publisiti menjerat diri – Zul Ariffin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZUL ARIFFIN

HIDUP bergelumang gosip, kecaman, populariti mahupun kontroversi sudah menjadi asam garam buat anak seni.

Situasi tersebut antara pernah dan masih sedang dilalui aktor Zul Ariffin sejak mula mengabdikan diri dalam industri hiburan lebih 10 tahun lalu.

Jika dibandingkan dengan selebriti lelaki lain, nama Zul antara yang tidak pernah sunyi daripada terkait dengan cerita-cerita panas.

Sebut sahaja namanya, pelbagai cerita berlegar-legar dalam fikiran termasuklah aksi mesra dengan pelakon wanita dan juga dakwaan video lucah.

Namun, walau dihambat 1,001 cerita negatif, dia masih teguh dalam liganya sendiri.

ZUL ARIFFIN mengakui harus memilih untuk menjauhkan diri daripada pihak tertentu bagi mengelakkan tercetusnya cerita tidak enak tentang mereka.

Foto mesra

Ketika ditemui media baru-baru ini, anak kelahiran Taiping, Perak itu sempat berkongsi pendapatnya susulan kerap menjadi perhatian umum termasuklah isu foto mesra dengan selebriti wanita pada tahun lalu.

Bagi pelakon bertubuh kekar itu, publisiti atau populariti hanya digunakan untuk kerja tetapi berbeza pula halnya dengan orang lain.

Bahkan, pemilik nama penuh Zulkifli Ariffin itu berpendapat, ada individu yang pernah terkait dengannya tidak tahu cara untuk mengawal tempias publisiti yang diterima dan seterusnya tewas selepas kehidupan ‘dirompak’ netizen.

“Saya seorang yang guna publisiti hanya untuk urusan kerja tetapi hari ini sesetengah orang mengejarnya tetapi tidak pandai mengendalikan perkara itu dengan baik.

“Kepada sesiapa yang tidak biasa dengan publisiti dan tiba-tiba terkait serta termasuk dalam bidang kerja saya, secara tidak langsung semua perkara berkaitan mereka mula terdedah kepada umum,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran sebuah produk bengkung baru-baru ini.

Pernah terkenal menerusi drama Rindu Awak 200%, Zul juga menitipkan pesanan kepada pendatang baharu dalam industri untuk berhati-hati dengan publisiti agar tidak menjerat diri sendiri.

PEMILIK trofi Pelakon Lelaki Terbaik FFM31 ini menafikan ‘harganya’ semakin mahal disebabkan beberapa pengiktirafan tahun lalu.

“Saya selalu cakap kepada artis baharu, berlakon memang mudah dan hanya memerlukan kemahiran tetapi menjadi seorang pelakon, bukan satu perkara mudah.

“Publisiti bukan sesuatu untuk berseronok tetapi adakah mereka sedar benda itu akan memakan diri sendiri.

“Ramai yang saya lihat ke arah tersebut dan hanya tergelak sahaja melihat semuanya,” tutur pelakon berusia 36 tahun itu.

Publisiti bukan sahaja boleh memakan diri tetapi turut membuatkan dia mengambil keputusan menjauhkan diri daripada mana-mana individu yang dirasakan tidak mampu mengawal jutaan perhatian diraih.

“Sebenarnya saya banyak menjauhkan diri daripada orang sebab tak mahu beri kesusahan kepada kehidupan mereka.

“Segelintir individu yang dekat dengan saya mungkin mempunyai agenda tersendiri. Ironi, mereka tidak sedar bahawa perkara tersebut mendedahkan diri dan kehidupan peribadi serta kisah silam mereka kepada umum.

“Jadi, lebih baik saya menjauh daripada buatkan kehidupan orang lain turut didedahkan kepada umum,” ujarnya lagi.

Ditanya sama ada akan lebih berhati-hati terutama ketika bergambar dengan mana-mana wanita, Zul menjelaskan dia tidak akan berpura-pura dalam kehidupan realiti.

“Saya boleh bergambar dengan sesiapa yang saya nak, tetapi orang di luar hanya tahu menghakimi.

“Selain itu, saya tidak akan berpura-pura dalam dunia realiti walaupun beraksi di hadapan kamera itu merupakan kerjaya saya.

“Untuk berpura-pura supaya orang berhenti bercakap, itu bukan cara saya. Kini, fokus saya hanya satu, membawa dan memberi sesuatu dalam industri seni yang menjadi bidang kerja saya,” tuturnya lagi.

ZUL enggan mengambil pusing segala kecaman netizen yang kerap mempersoalkan prinsip dan pendekatan dalam urusan kerja, terutama berhubung kemesraan dengan pasangan layarnya.

Dakwah diungkit semula

Setiap kali terpalit dengan isu aksi mesra bersama beberapa wanita, pasti akan muncul segerombolan individu yang mengungkit dan mengaitkannya dengan momen-momen ketika dia mendalami agama bersama pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew.

Tutur pelakon pujaan ramai wanita itu, dia sendiri tidak pernah terlalu berkongsi cerita tentang dakwahnya, namun salah faham mula tercetus selepas terlalu ramai yang menjadikan perkara tersebut sebagai bahan kandungan media sosial.

“Saya hanya bekerjasama dengan seorang individu (Ebit). Saya suka dia dan lepak bersama tetapi ada yang ambil kesempatan menularkan perkara tersebut sehingga kecoh.

“Mereka seronok menggunakan semua foto dan momen saya bersama Ebit untuk kandungan media sosial dan tularkan sehingga kecoh. Buatkan saya kelihatan seperti calon imam negara.

“Perkara tersebut meninggalkan banyak andaian bahawa saya nak bersara daripada dunia hiburan dan jadi ‘pak haji’, walhal kami makan dan belajar agama sahaja.

“Semestinya mereka seronok menghasilkan kandungan media sosial yang mencetuskan perkara tersebut. Saya tidak tahu apa panggilan untuk mereka tetapi ramai yang gelar sebagai jemaah content,” katanya lagi.

Baginya, kemanisan yang dirasai ketika momen mendalami agama juga semakin memudar kerana terlalu digembar-gemburkan oleh pihak lain.

“Ramai yang kecohkan perkara tersebut sehingga nampak seperti negatif dan kemudian rasa manisnya turut memudar.

“Namun, selepas muncul isu lain, netizen campak semula perkara tersebut ke muka saya. Kemudian timbul pula dakwaan saya tak akan lakonkan babak dukung, tidak akan pakai seluar pendek dan dikatakan akan berserban.

“Saya tak pernah keluarkan kenyataan sebegitu tetapi ada pihak yang mengeksploitasi perkara tersebut sehingga menimbulkan salah faham,” getus Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31 menutup kata.

ZUL berjanji kepada diri sendiri untuk tidak mahu berpura-pura dalam realiti kehidupannya.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI