fbpx

Guru tahfiz diperintah bela diri lakukan amang seksual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Ajmal ketika hadir keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini. - Foto oleh ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Seorang guru agama di sebuah Maahad Tahfiz yang sebelum ini dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di sekolah tahfiz itu, empat tahun lalu diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Hasbullah Adam memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohamad Ajmal Mohamed Khairi, 26, dalam rayuan keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini.

“Pendengaran penuh bagi rayuan kes ini telah ditetapkan pada 25 Januari lalu dengan pihak perayu (pendakwaan) dan responden (Mohamad Ajmal) telah bersetuju supaya dibuat pada penghujahan bertulis yang telah difailkan pihak-pihak.

“Setelah meneliti rekod rayuan serta mengambil kira hujahan bertulis bahawa wujud kes prima facie bagi pertuduhan pertama manakala dua lagi pihak pendakwaan gagal buktikan prima facie (kekal lepas bebas).

“Justeru, mahkamah memerintahkan rayuan pendakwaan dibenarkan dan tertuduh dipanggil membela diri bagi pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan -Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (amang seksual) di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ampang. Seterusnya, kes disebut semula di mahkamah itu pukul 2 petang hari ini,” katanya dalam penghakiman.

Berdasarkan rekod, Mahkamah Sesyen Ampang menerusi Hakim Azrul Darus pada 4 Oktober 2019 telah melepas dan membebaskan Mohamad Ajmal selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi tiga pertuduhan dihadapi guru maahad tahfiz itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohamad Ajmal didakwa sebagai guru kepada pelajar itu telah melakukan sentuhan seksual fizikal ke atas remaja lelaki itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan -Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, telah didakwa membuat remaja itu menyentuh kemaluan tertuduh mengikut Seksyen 14 (b) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman sama.

Selain itu, dia juga dengan sengaja telah melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa sama mengikut Seksyen 377 C Kanun Keseksaan yang sekiranya disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah maahad tahfiz di sini antara pukul 10.30 malam dan 12.30 tengah malam pada 8 Jun 2018.

Permohonan rayuan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zatil Hidayah Ali manakala responden diwakili Peguam Ahmad Ishrakh Saad. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI