fbpx

Zii Jia sandaran utama di BATC 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA bakal mengetuai cabaran Malaysia untuk melangkah sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir saingan BATC bulan depan.

PEMAIN perseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia diberi tanggungjawab besar apabila bakal mengetuai skuad kebangsaan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City di Shah Alam bermula 15 hingga 20 Februari ini.

Zii Jia yang kini sudah bergelar pemain profesional, menjadi sandaran utama Malaysia bagi memastikan sekurang-kurang­nya satu mata berada dalam genggaman pasukan negara.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann menaruh kepercayaan skuad lelaki mampu untuk mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir bagi melayakkan diri secara merit ke saingan Piala Thomas 2022.

“Apa yang pasti, Zii Jia memang berada dalam pasukan BATC kali ini. Kita akan cuba untuk ulangi prestasi dua tahun lalu apabila mara ke final kerana sasaran adalah separuh akhir bagi melayakkan diri ke Piala Thomas secara merit.

“Sasaran awal adalah layak ke separuh akhir dahulu. Kita tidak mahu letak sasaran terlalu tinggi kerana ia boleh menyebabkan pemain berada dalam keadaan tertekan,” kata bekas perseora­ngan lelaki No. 1 dunia itu.

Selain Zii Jia, Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King dan Jacky Kok Jing Hong menggalas tugas dalam acara perseorangan sementara beregu dibarisi Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

“Sebenarnya, kita boleh nampak prestasi serta permainan Tze Yong sudah semakin stabil. Dia juga memiliki kemampuan untuk bersaing dengan pemain-pemain dalam kelompok 20 terbaik dunia,” tambah Choong Hann.

Sementara itu, pasukan wanita pula dibarisi Eoon Qi Xuan, S. Kisona, Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman serta Myisha Mohd. Khairul untuk kategori perseorangan, manakala beregu mempertaruhkan Pearly Tan-M. Thinaah, Teoh Mei Xing-Anna Cheong, Valeree Siow-Low Yeen Yuan dan Go Pei Kee.

Sebagai rekod, skuad lelaki berjaya melangkah ke pentas final, namun tewas 1-3 kepada Indonesia, manakala pasukan wanita pula terkandas di separuh akhir pada edisi dua tahun lalu di Manila, Filipina.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI