TURIN – Dusan Vlahovic akhirnya menamatkan spekulasi mengenai masa depannya apabila melengkapkan perpindahan bernilai £62 juta (RM348.24 juta) dari Fiorentina ke Juventus kelmarin.
Pemain berusia 21 tahun itu kuat dikaitkan dengan perpindahan ke London untuk menyertai Arsenal sebelum ini tetapi membuat keputusan untuk terus kekal di Itali bersama Juventus.
Vlahovic yang meledak 20 gol dalam 24 aksi bersama Fiorentina dilaporkan telah bersetuju dengan beberapa terma peribadi dan kontrak yang ditandatanganinya menyaksikan dia meraih pendapatan sebanyak £5.8 juta (RM32.58 juta) semusim di Stadium Allianz.
Juventus mengakui sangat gembira apabila berjaya memenangi persaingan merebut khidmat Vlahovic sambil mengakui bahawa pemain terbaik di Serie A menyertai kelab berkenaan adalah suatu yang normal.
“Kemampuan fizikal, teknik permainan yang dimiliki, kehebatan, kelas semuanya penting untuk menjadikannya pemain terbaik. Ketenangan ketika di hadapan gol juga membuatkan Vlahovic menarik minat kami.
“Dia juga seorang penyerang yang tajam di dalam kotak penalti. 41 daripada 44 gol yang dijaringkannya dalam saingan Serie A bersama Fiorentina dilakukan dalam kotak penalti selain kemampuannya melakukan percubaan dengan baik.
“Statistik ini menunjukkan bahawa dia adalah seorang penggempur yang kami mahukan dan dia perlu bersama kelab ini,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Juventus.
Keputusan Vlahovic memilih Juventus menyebabkan Arsenal terpaksa berputih mata dan perlu mengalihkan tumpuan mereka kepada beberapa penyerang lain termasuk Alexander Isak, Victor Osimhen, Luka Jovic dan Dominic Calvert-Lewin bagi menggantikan Pierre-Emerick Aubameyang. – AGENSI