fbpx

UMNO tidak tawar habuan kepada Mazlan, Mohd. Izhar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Maslan (tengah) bergambar bersama kepimpinan Parti Makkal Sakti Malaysia dalam satu majlis perjumpaan di Hotel Granada, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – UMNO tidak menawarkan sebarang habuan kepada dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertindak keluar daripada parti itu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang permohonan bagi kedua-dua individu berkenaan untuk memasuki UMNO.

Bagaimanapun katanya, pihaknya tetap berterima kasih atas sokongan mereka terhadap Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung.

“Buat waktu ini tiada sebarang permohonan (masuk UMNO) daripada mereka berdua, tetapi kami mahu ucapkan terima kasih kerana tiada sebarang habuan yang dijanjikan kepada mereka.

“Mereka membuat keputusan itu (keluar Bersatu) dengan sukarela dan suci hati tanpa kami janjikan apa-apa. Itu kehendak mereka yang mahu menyokong Menteri Besar (Datuk Ir. Hasni Mohammad) dan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Selepas menghadiri Majlis Perjumpaan bersama Parti Makkal Sakti Malaysia yang diadakan di Hotel Granada di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri R. S. Thanenthiran; Pengerusi Makkal Sakti Johor, Datuk Seri Dr. M. Suriya dan Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah.

Terdahulu, bekas ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang dan bekas ADUN Larkin, Datuk Mohd. Izhar Ahmad mengumumkan keluar Bersatu serta merta kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kedua-dua mereka yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor turut memberitahu tidak meyakini hala tuju parti berkenaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pontian itu turut tidak menafikan kemungkinan akan ada bekas ADUN Bersatu lain yang akan mengikut jejak langkah Mazlan dan Mohd. Izhar dalam menyatakan sokongan terhadap BN menjelang PRN Johor ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI