YAOUNDE, CAMEROON – Barisan perubatan Senegal menjadi unit paling penting untuk menentukan status sebenar Sadio Mane sebelum turun menghadapi aksi suku akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) menentang Equatorial Guinea awal pagi esok.
Walaupun Mane kini dikatakan berada dalam keadaan cukup baik, namun hanya pasukan perubatan pasukan yang boleh membuat keputusan dan penilaian akhir sama ada membenarkan penyerang prolifik Liverpool itu turun bermain ataupun sebaliknya.
Doktor Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF), Thulani Ngwenya sebelum ini sudah memberi jaminan bahawa Liverpool tidak perlu bimbang dengan keadaan penyerang itu kerana Senegal memiliki pasukan perubatan yang berkemampuan untuk membantu keadaan Mane.
“Kami mempunyai pasukan perubatan dan Senegal juga ada dua doktor pasukan. Saya tahu doktor pasukan sudah pun berkomunikasi dengan Liverpool yang pastinya akan dimaklumkan tentang situasi sebenar Mane.
“Selepas penilaian dan imbasan dibuat ke atas Mane, tiada sebarang kerosakan pada struktur di bahagian kepala tetapi tidak menolak kemungkinan berlakunya gegaran otak. Ketika melawatnya di hospital, saya dapat lihat Mane juga cukup bersemangat.
“Saya tidak pasti sama ada Mane bersedia untuk aksi selepas ini atau tidak. Keputusan hanya boleh dibuat oleh doktor pasukan yang sentiasa menguruskan keadaan Mane setiap hari,” katanya.
Sementara itu, bekas pemain Senegal dan Liverpool, Salif Diao yakin Mane akan turut serta dalam pasukan untuk aksi penting berdepan Equatorial Guinea di Stade Ahmadou Ahidjo awal pagi esok.
“Daripada apa yang saya faham, dia sudah mendapat kebenaran daripada doktor dan sepatutnya tidak ada masalah,” jelasnya. – AGENSI