KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggantung atau membatalkan permit institut memandu yang didapati melahirkan ramai calon yang terbabit dalam kemalangan dan tidak mematuhi undang-undang jalan raya.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, langkah itu akan dilakukan selepas JPJ melaksanakan sistem kod pendigitalan pada lesen yang dapat mengesan kesalahan pemandu bermula tahun ini.
Menurutnya, menerusi sistem itu, JPJ dapat mengesan setiap lesen memandu yang dikeluarkan dari institut memandu di negara ini.
“Tindakan boleh diambil termasuk membatalkan lesen bergantung kepada kesalahan selepas diputuskan oleh mahkamah.
“Selain itu, permit institut memandu juga boleh digantung atau dibatalkan dan sijil pengajar boleh ditarik balik sekiranya didapati pemandu yang belajar di tempat mereka melakukan kesalahan trafik,” katanya. – K! ONLINE.