fbpx

Penduduk Seksyen 33 lega akhirnya terima bantuan banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kakitangan Pejabat Tanah dan Daerah Klang membuat semakan sebelum mengagihkan BWI dan BSB kepada penduduk di Klang semalam.

KLANG – Pejabat Ta­nah dan Daerah Klang di sini terpaksa membuat semakan terperinci ke atas lebih 71,000 borang permohonan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) bagi memastikan maklumat yang diterima adalah sahih dan tepat.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Klang, Azniza Azmi berkata, kelewatan menyampaikan bantuan kepada penduduk yang terkesan akibat banjir pada 18 Disember tahun lalu berlaku ke­rana permohonan dibuat dalam bentuk borang dan salinan kad pengenalan.

Katanya, kelewatan juga berlaku apabila ada permohonan tidak disertakan dengan dokumen sokongan lain.

“Hari ini (semalam) kita ­mengagihkan bantuan kepada 244 penduduk Taman Alam Indah, Seksyen 33, Shah Alam dan Kampung Jawa di sini yang lewat sebelum ini.

“Jadi, nama-nama yang telah disemak dan melepasi tapisan akan menjadi penerima awal,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Rabu lalu, Kosmo! melaporkan rintihan penduduk Taman Alam Indah yang masih belum me­nerima bantuan walaupun sudah lebih sebulan menunggu.

BWI adalah daripada kerajaan Persekutuan, manakala BSB me­libatkan kerajaan negeri dengan nilai ma­sing-masing sebanyak RM1,000.

Menurut Azniza, proses semakan memerlukan perincian teliti serta mengambil masa lama bagi memastikan maklumat yang di­terima adalah sahih dan tepat.

Selain itu, tambahnya, kelewatan juga disebabkan kes-kes terpencil yang mengakibatkan keseluruhan permohonan tergendala seperti penipuan dokumen dan penyelewengan.

“Jika kes seperti itu dikesan, kita akan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. Bagi penduduk di rumah pangsa, kerajaan negeri mempertimbangkan untuk meluluskan bantuan sekiranya mereka benar-benar layak,” katanya.

Azniza

Ujar Azniza, pihaknya berharap agar orang ramai bersabar ekoran permohonan diterima melebihi jangkaan.

“Pemohon yang telah menghantar borang tetapi masih belum menerima bantuan sebenarnya sedang dalam peringkat tapisan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Klang, Mohd. Faizal Abdul Raji berkata, sebanyak 14,000 mangsa banjir di sekitar daerah itu termasuk di Seksyen 33 Shah Alam telah menerima BWI dan BSB berjumlah RM28 juta semalam.

“Ada kira-kira 30,000 permohonan BWI dan BSB masih belum diagihkan kepada mangsa banjir setakat ini.

“Kita berusaha menyalurkannya secepat mungkin pada setiap minggu dan dijangka selesai pada bulan depan,” katanya ketika dihubungi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI