WALAUPUN mengakui sangat penat dengan jadual kerja yang padat, pelakon dan juga pengacara Ramona Zamzam puas kerana sekurang-kurangnya dia tidak lagi perlu ‘terkurung’ gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti sebelum ini.
Sejak negara membenarkan semula aktiviti seni kreatif kembali beroperasi sekitar September tahun lalu, pemilik nama lengkap Ros Ramona Qadira Mohd. Zamzam itu ibarat ‘lipas kudung’ bekerja tanpa henti.
“Selepas PKP berakhir, saya memang bekerja tanpa henti sehingga penat. Kalau ikutkan, jadual kerja saya untuk tahun ini padat sejak tahun lalu lagi.
“Sejak Julai tahun lalu sehingga Mac akan datang jadual saya padat. Ada beberapa tawaran lain, namun saya minta supaya ditunda kerana penat,” katanya.
Tidak ada niat untuk merungut dengan rezeki yang diberikan kepadanya. Bahkan Ramona sendiri mengakui gembira kerana boleh keluar bekerja dan berjumpa dengan ramai orang.
“Saya seorang yang aktif. Apabila dapat keluar bekerja, saya rasa puas. Janganlah PKP lagi. Boleh terganggu emosi saya nanti,” jelasnya.
Dalam kesibukan jadual kerja, selebriti berusia 32 tahun itu tidak sabar untuk pergi bercuti bersama keluarga selepas tugasnya sebagai juri program The Masked Singer selesai.
Ujar Ramona, suaminya Rami Alashkar yang merupakan seorang warga Palestin juga sudah lama tidak bertemu dengan ibu bapanya di sana.
“Suami juga sudah lama tidak pulang ke Palestin bertemu dengan kedua-dua orang tuanya. Tapi suami okey sahaja sebab sudah terbiasa hidup berjauhan.
“Bahkan adik-beradiknya yang lain juga tinggal di beberapa buah negara lain seperti Rusia, Yemen dan Qatar,” katanya.
Jelas pelakon filem KL Special Force itu, walaupun kehidupan adik-beradik suaminya berjauhan antara satu sama lain, namun hubungan kekeluargaan antara mereka sangat kuat.
Malah, suaminya sering berhubung dengan adik-beradiknya untuk meminta pandangan dan bertanya khabar walaupun hanya secara maya.
Menyentuh tentang perkembangan anak perempuannya, Ivanna Alashkar yang kini berusia empat tahun, Ramona seakan tidak percaya si cilik itu telah membesar dengan cepat.
“Pejam celik anak saya sudah pun berusia empat tahun. Seawal usia dua tahun lagi saya sudah menghantarnya ke tadika supaya dia dapat bergaul dengan rakan-rakan sebaya.
“Sejujurnya saya sangat sibuk sekarang dan adakalanya tidak sempat meluangkan masa dengan anak. Saya sebenarnya sedang cuba yang terbaik untuk seimbangkan antara kerjaya dan keluarga. Tidak mahulah anak sendiri terabai,” jelasnya.
Walaupun sibuk, dia tetap memainkan peranannya sebagai ibu di rumah dengan memberikan pendidikan sewajarnya kepada Ivanna.
“Saya sangat suka membaca buku dan cuba mendidik anak untuk mencintai buku. Tapi tidaklah terlalu tegas kerana kanak-kanak juga perlu bermain sesuai dengan usianya,” katanya yang turut menyimpan hasrat menambah seorang lagi cahaya mata suatu hari nanti.