LIPIS – Seorang mekanik maut selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar bahagian bucu penghadang jalan di Kilometer 18 Jalan Lipis-Benta di sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd. Noor berkata, kejadian kira-kira pukul 1.59 pagi itu berlaku ketika mangsa, Sin Chee Fat, 24, dalam perjalanan dari arah Lipis ke Benta.
“Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai kereta jenis Perodua Kancil dipandu mangsa hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh bucu penghadang jalan.
“Akibat kemalangan mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian badan meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya di sini hari ini.
Menurut Azli, mayat mangsa dihantar ke Hospital Lipis untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kata beliau, siasatan masih giat dilakukan dan berdasarkan siasatan awal mendapati tiada kesan brek di lokasi kejadian.
“Kawasan kemalangan adalah jalan berselekoh dan semasa kejadian keadaan gelap dan cuaca adalah baik,” ujarnya. – K! ONLINE