fbpx

Lima askar Indonesia maut diserang sejak November 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota TNI memindahkan jenazah askar yang terkorban dalam serangan kumpulan pengganas di daerah Puncak pada 27 Januari lepas. – Cenderawasih

JAKARTA – Sebanyak lima anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) terkorban, manakala empat lagi cedera dalam beberapa insiden tembakan dengan kumpulan pengganas bersenjata di wilayah Papua dan Papua Barat sejak November 2021 hingga kini.

Menurut laporan stesen penyiaran CNN Indonesia semalam, tempoh masa itu adalah sejak Panglima TNI, Jeneral Andika Perkasa memulakan tugas secara rasmi beliau pada 18 November 2021.

Selepas dilantik oleh Presiden Joko Widodo (Jokowi),  Andika berikrar akan menilai semula pendekatan ketenteraan yang selama ini diguna pakai bagi menangani konflik di wilayah tersebut.

“Saya akan menilai semula, melakukan perubahan mengenai operasi TNI, bukan sekadar di Papua, bahkan di seluruh wilayah di Indonesia,” katanya.  

Bagaimanapun, menurut rekod CNN Indonesia, sekurang-kurangya lapan insiden tembak-menembak berlaku di wilayah tersebut termasuk melibatkan serangan ke atas pos kawalan tentera atau balai polis selepas Andika menegaskan ikrar tersebut.

Contohnya pada 20 November tahun lalu, seorang askar TNI maut ditembak kumpulan pengganas bersenjata di daerah Yahukimo selain seorang lagi cedera.

Insiden tembakan terjadi lagi dua bulan selepas itu di daerah Maybrat melibatkan seorang askar  yang sedang bersiap sedia untuk membaiki  jambatan di sebuah kampung.

Terbaharu, tiga lagi anggota TNI gugur manakala seorang cedera parah dalam kejadian tembak-menembak di daerah Puncak pada Khamis lepas.

Dalam kejadian pada pukul 5 pagi (waktu tempatan) itu, kumpulan pemberontak Papua menyerang pos kawalan tentera secara tiba-tiba hingga mengorbankan tiga anggota yang bertugas. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI