PETALING JAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi menilai semula perlaksanaan Program Bayaran Bantuan Kewangan Tanpa Tunai (Cashless) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, adalah wajar program itu diberi masa dan peluang bagi mewujudkan masyarakat celik digital tanpa meninggalkan orang kurang paya (OKU) mahupun warga emas selaras dengan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Negara 2021.
“Sebenarnya program ini masih di peringkat rintis atau percubaan dan hanya melibatkan penerima bantuan baharu di kawasan terpilih tanpa membabitkan penerima bantuan sedia ada.
“Kementerian juga telah menjalankan Kajian Kebolehlaksanaan program pada 14 Jun sehingga 10 Julai 2021 di seluruh lokasi projek rintis melibatkan seramai 1,066 penerima bantuan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurut Rina, hasil daripada kajian menunjukkan majoriti peserta memberi sokongan kepada program itu kerana memudahkan mereka membuat kawalan perbelanjaan bagi menampung keperluan harian.
“Penerima bantuan menerima sepenuhnya bantuan yang melibatkan pembahagian 50 peratus secara tunai dan 50 peratus secara Cashless tanpa ada sebarang pemotongan.
“Sehingga Disember 2021, seramai 3,722 orang merupakan penerima bantuan baharu yang mengikuti projek rintis Cashless ini,” ujarnya.
Jelasnya lagi, pelaksanaan program itu memberi banyak kelebihan termasuk mendidik penerima bantuan mengurus perbelanjaan wang bantuan secara berhemah dan tidak boleh disalahgunakan oleh penerima untuk membeli rokok dan arak.
Sementara itu, Rina menjelaskan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang datang menghantar memorandum tempoh hari tidak pernah diabaikan.
“Pihak kementerian akan menjemput semula NGO OKU dan badan-badan berkaitan serta kumpulan yang menghantar memorandum ini ke satu forum atau majlis bagi menerangkan sekali lagi dengan terperinci berkaitan program ini,” jelasnya. -K!ONLINE