fbpx

Kerajaan pantau ajaran sesat `mimpi’ Muhammad Qasim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Marzuk (kiri) beramah mesra dengan masyarakat Tiong Hua sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Kampung Pulau Belanga, Kota Bharu, Kelantan semalam.

KOTA BHARU – Kerajaan sedang memantau sekiranya ada individu atau kumpulan yang terlibat dengan penyebaran ajaran ‘mimpi’ Muhammad Qasim di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pemantauan itu dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa agama negeri masing-masing bagi mengesan penyebaran ajaran berkenaan.

Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) turut memantau segala perbualan menerusi emel dan aplikasi WhatApps jika terdapat unsur-unsur yang berkait dengan ajaran tersebut.

“Kita lihat wujud kepercayaan sebegitu seperti ajaran mimpi Muhammad Qasim sejak akhir-akhir ini. Ia menunjukkan masyarakat tidak memahami ajaran Islam yang sebenar.

“Mereka dilihat mula berkreativiti dengan sesuatu amalan dan meletakkan agama sebagai ‘wajah’, namun kelompok ini masih lagi dalam kawalan daripada melakukan perkara menyimpang daripada ajaran Islam sebenar,” katanya selepas diminta mengulas mengenai penyebaran ajaran ‘mimpi’ Muhammad Qasim yang didakwa mula dikembangkan di dalam negara ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis beramah mesra dan menyampaikan sumbangan buah limau mandarin kepada masyarakat Tiong Hua di kampung Pulau Belanga di sini semalam.

Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, kerajaan sentiasa berusaha menyekat penyebaran ajaran-ajaran sesat di negara ini.

Katanya, meskipun kelompok itu masih kecil kerajaan mengambil langkah awal dengan membendung perkara tersebut daripada terus menular.

“Jangan terlalu ghairah mencari jalan pintas untuk mendapat kedudukan yang tinggi dalam agama sehingga kita menyimpang dari hakikat bergama yang sebenar.

“Nasihat saya, Islam perlu berpegang kepada ketulenan ajaran Islam yang berlandaskan al-Quran, sunah dan mengikut mazhab yang diiktiraf sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, sebuah kumpulan yang mula bertapak di negara ini didakwa mengajak orang ramai mempercayai seorang lelaki dari Pakistan menerusi mimpinya berkaitan akhir zaman.

Kumpulan dikenali sebagai Gerakan Akhir Zaman (Gaza) yang berasal dari Indonesia itu dipercayai membuat persiapan akhir zaman berdasarkan mimpi Muhammad Qasim yang mendakwa hanya mengikut kehendak Allah S.W.T. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI