fbpx

“Jatuh kelmarin, semalam baru jumpa terbaring dalam lubang lif’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pekerja penyelenggaraan ditemui mati dalam ruangan lif di sebuah pasar raya di Jalan Loke Yew, dekat sini semalam. /FOTO IHSAN PDRM

KUALA LUMPUR – Tergelincir semasa menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dipercayai punca seorang pekerja penyelenggaraan terjatuh dari tingkat empat ruangan lif dan meninggal dunia dalam kejadian di sebuah pasar raya di Jalan Loke Yew semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian lebih kurang pukul 11.07 pagi hari yang sama daripada orang awam memaklumkan terdapat orang jatuh dalam lif di salah sebuah pasar raya dekat sini.

“Sepasukan polis dari Balai Cheras telah ke tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki tempatan berumur 32 tahun dalam keadaan tertiarap di dalam lubang lif di bawah tanah.

“Pihak bomba telah mengeluarkan mangsa dari dalam terowong lif dan pegawai perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras yang hadir di tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan yang di jalankan di tempat kejadian dan menerusi semakan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian berlaku Jumaat lalu pada pukul 11.55 pagi.

“Ketika kejadian, mangsa sedang menyelenggara lif di tingkat dua bangunan tersebut dan telah tergelincir ke dalam lubang lif semasa memijak tong sampah besi yang digunakan sebagai alas untuk turun dari lantai utama lif.

“Bagaimanapun kejadian tidak disedari oleh sesiapa memandangkan lif tersebut tidak digunakan dalam tempoh terdekat dan bukan berada di kawasan laluan pengunjung,” katanya.

Kata beliau, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut diteruskan.

Kosmo! Online semalam melaporkan seorang pekerja penyelenggaraan maut selepas terjatuh dari tingkat empat ruangan lif di sebuah pusat pasar raya di Jalan Loke Yew, di sini.

Pasukan bomba menggunakan tali dan alat pengusung untuk menarik dan mengeluarkan mangsa daripada lubang lif berkenaan yang dianggarkan berkedalaman enam kaki dari pintu lif, ruangan bawah tanah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI