fbpx

8 remaja ditahan buat aksi berbahaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis menjalankan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal yang dikesan melakukan aksi merbahaya di beberapa jalan di ibu negara.

KUALA LUMPUR – Tindakan lapan remaja lelaki menunggang motosikal secara merbahaya membawa padah apabila mereka ditahan menerusi Operasi Samseng Jalanan yang dilaksanakan pihak polis sejak Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, mereka yang ditahan itu berusia dalam lingkungan 13 hingga 20 tahun.

“Kesemua penunggang motosikal ini dikesan melakukan aksi berbahaya seperti zig zag, roket, superman serta bersaing sesama sendiri hingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

“Kesemua tangkapan ini telah dibawa ke Balai Polis Trafik dekat sini dan akan dituduh dibawah Seksyen 42 (1) 1987 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, selain Operasi Samseng Jalanan, pihak JSPT turut mengadakan Operasi Motosikal dan Pelbagai Kesalahan dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS ) bermula pukul 9 malam hingga 4 pagi di sekitar pusat bandar, Jalan Pahang, Jalan Loke Yew, Jalan Raja Laut dan Lebuh Raya DUKE.

“Sejumlah 14 lelaki yang berumur dalam lingkungan 30 hingga 55 tahun ditahan dibawah Seksyen 45(A) APJ 1987 kerana memandu dibawah pengaruh alkohol.

“Kita juga telah mengeluarkan sebanyak 388 saman atas pelbagai kesalahan dan 15 buah motosikal juga disita dibawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

“JAS juga mengeluarkan 11 saman terhadap penunggang motosikal yang telah melakukan kesalahan dibawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” ujarnya.

Tegas beliau, JSPT akan mempertingkatkan operasi pada hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI