BEKAS Pengarah Akedemi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim ‘mencabar’ pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberikannya satu pasukan untuk dikendalikan bagi membuktikan kemampuannya selaku jurulatih.
Sebagai rekod, kredibiliti Teong Kim didakwa dipertikai susulan temu ramah yang dilakukan oleh Tunku Mahkota Johor bersama syarikat televisyen swasta di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) kelmarin.
Namun, Teong Kim yang berpangkalan di Jerman mempersoalkan kenyataan Tunku Ismail yang mengaitkan dirinya, sedangkan sesi temuramah tersebut sepatutnya melibatkan kegagalan skuad kebangsaan Malaysia pada kejohanan Piala AFF Suzuki 2020.
“Maaf Tunku, apa yang kamu kata tidak benar. Anda mempersoalkan kredibiliti dan keupayaan saya sebagai jurulatih. Saya cabar anda untuk bagi saya pasukan untuk dibimbing,” kata Teong Kim menerusi komen di Instagram semalam.
Sementara itu, Teong Kim turut menafikan dakwaan pernah meminta gaji sebanyak €70,000 hingga €80,000 (RM330,000-380,000) sebulan untuk melatih pasukan pembangunan JDT.
“Saya nak tanya, berapa Tunku membayar gaji kepada pemain import, RM20,000-RM30,000? Dan apa kena mengena kegagalan pasukan kebangsaan dengan saya?
“Seingat saya, saya tak pernah bercakap dengan bahagian kewangan, saya tahu dan ingat saya bercakap dengan Tunku. Dan saya nak tanya juga, adakah saya pernah minta bekerja dengan pasukan kebangsaan?
“Untuk makluman Tunku, (Pep) Guardiola dan Thomas Tuchel pun bermula dengan membimbing pasukan bawah umur, begitu juga ramai lagi jurulatih lain. Malah, saya adalah jurulatih berkelayakan yang memegang Lesen Profesional UEFA,” jawab Teong Kim lagi.
Sebelum ini, Teong Kim pernah menjadi pembantu jurulatih skuad bawah 19 (B-19) Bayern Munich, selain pernah mengendalikan skuad bawah 17 (B-17) kebangsaan sebelum kontraknya berakhir pada tahun 2019.