JOHOR BAHRU – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada masa terdekat dilaksanakan atas dasar strategik sebagai mengembalikan mandat rakyat untuk memilih kerajaan yang kukuh.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah untuk mengadakan PRN bukan kerana kehendak ‘kluster’ tertentu dalam UMNO.
Menurutnya, Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohamad mempunyai sebab tersendiri bagi mendapat mandat baru dan itu bukan urusan parti lain untuk mempersoalkannya.
“Beliau diberikan kepercayaan sepenuh oleh parti untuk menasihati Sultan Johor (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar), sesuai keadaan dan keperluan bagi pembubaran DUN (Dewan Undangan Negeri).
“Menuduh ‘kluster itu dan ini sebagai penyebabnya (pembubaran DUN) adalah sangat tidak munasabah. Untuk makluman istilah-istilah itu hanya dicipta musuh UMNO sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di laman Twitternya hari ini.
Mohamad yang juga ADUN Rantau itu berkata, UMNO bukan sebuah parti yang dikuasai oleh kelompok tertentu sahaja, ia adalah parti untuk semua.
Jelasnya, UMNO bukan seperti parti lain yang tiada ‘wala’ (taat setia) kepada presiden dan tiada seorang yang berkuasa memutuskan segalanya.
“Bila UMNO memutuskan untuk menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, cuma hanya 12 ahli parlimen UMNO sahaja yang akur, demikianlah demokratiknya UMNO.
“Bagi mereka yang menggelarkan UMNO dengan pelbagai gelaran seperti itik, angsa, harimau dan sebagainya, gelarlah dengan pelbagai apa pun,”katanya.
Beliau berkata, UMNO masih lagi parti Melayu terbesar malah parti politik terbesar dalam negara dan bangkit semula kerana ‘ubatan mujarab’ Pas.
“Kerana dukungan orang Melayu terhadap UMNO dan buruknya prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), tanpa UMNO, Pas tidak akan berada dalam kerajaan persekutuan hari ini,”ujarnya. -K! ONLINE