fbpx

Pertembungan Barat-Rusia di Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ancaman Putin untuk menyerang Ukraine bukan tindakan semberono. - AFP

Krisis di Ukraine kini memuncak, namun isu itu bukanlah perkembangan luar biasa. Ancaman Presiden Vladimir Putin untuk menyerang negara jirannya itu juga bukan tindakan semberono. Putin bukanlah orang seperti itu.

Segala tindakannya adalah kalkulatif dan diyakini menguntungkan atau demi kepentingan Rusia. Lihat saja campur tangan Rusia di Syria dan Semenanjung Crimea.

Apa yang berlaku kepada Ukraine sekarang adalah rentetan daripada peristiwa yang membangkitkan kemarahan Kremlin dan bermula selepas negara bekas Kesatuan Soviet (USSR) dibubarkan, beberapa dekad lalu.

Pemimpin USSR ketika itu, Mikhail Gorbachev dikatakan mencapai persetujuan dengan Barat bahawa tiada mana-mana negara bekas USSR akan menyertai pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Persetujuan itu bagaimanapun dicabuli antaranya, mungkin kerana pemimpin dan rakyat negara bekas USSR terpesona dengan kemodenan dan kekayaan penduduk di Eropah Barat selepas beberapa lama berasa mereka miskin semasa di bawah pemerintahan komunis.

Tamparan hebat yang diterima Moscow adalah semasa era pasca penyatuan Jerman Timur dan Jerman Barat. Dikatakan Rusia meminta supaya Jerman bersatu itu tidak dibenarkan menyertai pakatan NATO sebagai syarat untuk meruntuhkan Tembok Berlin.

Namun, perkembangan seterusnya menyaksikan Jerman kembali ke persada NATO, dan menjadi sekutu kuat Barat.

Peristiwa demi peristiwa yang berlaku di Eropah Timur memberi petanda jelas kepada Putin bahawa Barat tidak berminat atau berniat untuk menghormati persetujuan yang dicapai sebagai syarat keselamatan untuk membubarkan USSR dan mahu mengembangkan ideologi demokrasi acuan mereka ke Eropah Timur.

Batu terakhir yang dibaling Barat didalangi Amerika Syarikat (AS) adalah berkenaan Ukraine. Negara Eropah Timur itu memiliki hubungan yang panjang termasuk dari sudut sejarah dengan Rusia terutamanya Kiev.

Tindakan Ukraine berpaksi kepada AS khususnya berhasrat menyertai NATO langsung tidak boleh diterima oleh Kremlin.

Ia adalah garisan merah dan Putin tidak ter­agak-agak lagi untuk mengerah bala tenteranya menakluki Ukraine sekiranya garisan merah itu dilepasi.

Jika dilihat atas kertas, Rusia ada kelebihan dan 99.9 peratus akan menang jika perang tercetus di Ukraine. Putin juga tidak takut kepada ancaman sekatan oleh AS.

Inisiatif bersama Rusia dan China terutama projek Laluan Sutera mematikan situasi menang-menang untuk kedua-dua negara apabila berdepan sekatan Barat.

Pernah berlaku apabila Eropah terpaksa membatalkan sekatannya ke atas Rusia selepas Moscow menyekat bekalan gas ke rantau berkenaan.

Sejauh mana perang di Ukraine berlarutan perlu dilihat dari segi pemikiran Putin sama ada beliau bertindak demi kepentingan Rusia atau menyimpan hasrat menghidupkan kembali empayar USSR yang sudah terkubur.

Namun, apa yang juga ditakuti adalah China akan ambil kesempatan menawan Taiwan ketika Barat masih bergelut dan beralih tumpuan kepada situasi di Ukraine. Kemungkinan itu ada walaupun sa­ngat kecil, namun diharap senario tersebut tidak berlaku.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI