PETALING JAYA – Jagoan lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa memulakan kalendar sukan tahun 2022 dengan penuh bergaya apabila memecahkan rekod dalam dewan kebangsaan dengan catatan 2.22 meter (m).
Nauraj melakukan catatan tersebut ketika meraih tempat kedua pada saingan Atleticka hala Sletiste iaitu satu kejohanan dalam dewan anjuran World Athletics di Kladno, Republik Czech kelmarin.
Ia sekali gus mengatasi rekod lama dalam dewan kebangsaan dengan catatan 2.20m yang juga dilakukan oleh Nauraj ketika beraksi pada kejohanan Indoor Track and Field Vienna 2021 pada 30 Januari tahun lalu.
Menariknya, kejayaan kali ini dilihat sebagai hadiah hari lahir terbaik buat Nauraj yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-30 kelmarin.
“Terima kasih. Saya menikmati kejohanan ini,” kata Nauraj yang turut memegang rekod lompat tinggi kebangsaan dengan catatan 2.30m dilakukannya pada 2017.
Juara pada kejohanan itu dimenangi atlet Syria, Majd Eddin Ghazal dengan catatan 2.25m, manakala tempat ketiga menjadi milik Marek Bahnik dari Republik Czech yang turut berjaya melepasi had ketinggian 2.22m.
Kejayaan Nauraj pastinya meningkatkan semangat atlet dari Johor itu yang kini berpusat di Leipzig, Jerman untuk memberikan prestasi lebih baik bagi menghadapi kalendar padat acara sukan olahraga dalam tahun ini.
Tiga temasya sukan besar menanti Nauraj dalam tahun 2022 bermula Sukan SEA di Hanoi, Vietnam dari 12 hingga 23 Mei depan diikuti Sukan Komanwel di Birmingham (28 Julai – 8 Ogos) dan Sukan Asia di Hangzhou, China (10 – 25 September). – K! ONLINE