fbpx

‘Memilih bukan bermaksud cerewet’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MIMI LANA

BARANGKALI nama si tinggi lampai Mimi Lana tidak perlu lagi diperkenalkan kepada umum.

Bakat lakonannya usah dinafikan. Hingga kini, banyak naskhah pernah meminjam bakat dan pesonanya sejak menghulurkan salam perkenalan dalam industri lakonan sedekad lalu.

Agak cukup lama. Ya, memang sudah lama Mimi berkelana dan mencurahkan sepenuh jiwanya dalam gelanggang dunia glamor.

Bukan setakat menjadi pemain seni sebagai pelakon drama dan filem, dia juga aktif melibatkan diri dalam bidang peragaan.

Mimi sememangnya cukup layak untuk itu. Tidak hanya cantik dengan pakej lengkap sebagai model pentas, bakat semula jadinya juga sama naik seiring dengan percikan populariti yang mekar menguntum selama ini.

WANITA berusia 27 tahun ini terpaksa menjadi selektif kerana mahukan sesuatu yang baharu, segar dan mencabar dalam kerjayanya.

Cerewet

Justeru, tidak hairanlah jika Mimi atau nama sebenarnya Mimi Roziana Zainal Abidin berhak memilih atau dalam bahasa mudahnya sedikit cerewet terhadap kerjaya seninya.

“Nak kata terlalu cerewet tidaklah sangat, tapi pada saya, dengan usia dan sedikit pengalaman yang ada, apa salahnya kita memilih.

“Memilih bukan bermaksud kita cerewet mahupun meninggi diri. Sama sekali tidak, tapi sebagai pelakon kita ada hak untuk selektif,” katanya memulakan butir bicara.

Mimi berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar bagi sebuah drama terbaharunya berjudul Villa Kristal yang bakal ditayangkan secara penstriman dalam WeTV tidak lama lagi.

Meneruskan perbualan, pelakon drama Hati Yang Tersakiti itu berkata, selektif itu kadangkala perlu ada demi memastikan apa yang dijayakan dapat disampaikan dengan baik.

Kata Mimi, dia berhak untuk menjadi seorang yang memilih demi kelangsungan kerjaya seni yang dicintai dan sebagai satu cabaran buatnya bergelar pelakon.

“Hampir sepuluh tahun saya bergelar pelakon. Saya rasa tiba masa untuk ubah sedikit haluan dan tidak mahu terlalu selesa dengan apa yang selalu dilakukan.

“Menjadi seorang pelakon memerlukan saya untuk mendalami pelbagai selok-belok dan gali sedalam mana ilmu.

“Begitu juga dengan genre. Saya perlu cabar diri untuk berani bawakan pelbagai genre serta watak lain dalam usaha memastikan lakonan dan bakat terus relevan,” katanya.

BERCAKAP soal kerjaya, Mimi bersyukur kerana jadual seninya kini sudah padat hingga Jun depan.

Terbuka, sorok

Tutup soal kerjaya. Mimi yang kini sedang dalam proses berehat sementara selepas tamat penggambaran drama Villa Kristal arahan Kabir Bhatia dilihat semakin terbuka apabila bercakap tentang soal hubungan.

Kata finalis Dewi Remaja tahun 2014 itu, jika sebelum ini, tidak dinafikan dia seorang yang bersifat tertutup dan lebih suka menyimpan sendiri hal peribadi.

Namun, sejak kebelakangan ini, Mimi mengakui dia lebih bersifat terbuka dan tidak akan menyembunyikan hal-hal berkaitan perhubungan umumnya perkahwinan.

Kata Mimi, jika ditanya tentang hubungan dan soal hati dan persediaan bertukar status, dia sudah bersedia memandangkan umurnya disifatkan sudah cukup matang untuk itu.

“Cakap soal sedia atau belum, jujur saya memang sudah lama bersedia. Umur pun dah nak masuk 27 tahun ini. Bukan muda remaja lagi macam dulu.

“Saya rasa tidak akan sorok benda-benda begini. Kalau sudah tiba masanya, saya janji akan maklumkan kepada semua. Apa saya dapat kalau nak sorok benda-benda baik macam ini,” ujarnya.

MIMI mengakui kini dia lebih bersifat terbuka terutama jika melibatkan hal-hal berkaitan pernikahan kelak.

Justeru, dia memilih untuk bijak menyeimbangkan antara kehidupan peribadinya dengan kerjaya seni sebagai pelakon.

“Pada saya, dengan umur yang sebegini, saya kena pandai seimbangkan antara kehidupan peribadi dan kerjaya seni,” katanya.

Ditebak adakah hubungannya bersama aktor popular Syafiq Kyle masih hangat memandangkan mereka pernah berpisah seketika dua tahun lalu, Mimi sekadar tersenyum tanpa berkata ya atau tidak.

“Pada saya, dengan siapa pun saya berkawan dan berteman, itu bukan menjadi persoalan. Cukuplah sekadar doakan yang baik-baik.

“Seperti saya katakan, kalau sudah tiba masanya nanti (nikah), pasti akan saya uar-uarkan dan anda semua akan tahu,” ujarnya menghentikan aksara kata.

MIMI bakal muncul menerusi sebuah naskhah berjudul Villa Kristal yang akan ditayangkan secara penstriman dalam WeTV tidak lama lagi.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI