PETALING JAYA – Acara hiburan terbitan Astro, Anugerah MeleTOP ERA 2021 (AME2021) yang sepatutnya berlangsung esok terpaksa ditangguhkan berikutan jumlah kes harian Covid-19 negara yang semakin meningkat.
Perkara tersebut diumumkan menerusi satu hantaran dalam Instagram rasmi @meletop sebentar tadi. Menurut gergasi media tempatan berkenaan, keputusan terpaksa diambil dan tarikh baharu AME2021 akan diumumkan ke satu tarikh baharu kelak.
“Melihat kepada jumlah kes harian Covid-19 yang semakin meningkat, Astro sebagai sebuah syarikat korporat yang bertanggungjawab dengan berat hatinya mengumumkan bahawa kami mengambil keputusan untuk menangguhkan penganjuran AME2021 yang dirancang pada 30 Januari 2022, ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
“Astro sentiasa menitikberatkan keselamatan dan kesejahteraan setiap mereka yang terlibat dengan mana-mana produksi terbitan kami. Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan yang telah ditetapkan pihak berwajib sentiasa menjadi keutamaan kami,” ujar kenyataan terbabit.
Menurut kenyataan tersebut, pihak Astro sentiasa mengambil langkah-langkah proaktif untuk melaksanakan pemeriksaan pra kesihatan dan ujian saringan Covid-19 secara menyeluruh ke atas semua yang terlibat sebelum bermulanya mana-mana program.
“Sebelum acara berlangsung, berdasarkan pemeriksaan pra saringan kesihatan ke atas kesemua yang bakal menyertai produksi AME2021, sejumlah individu telah dikenal pasti perlu dikecualikan, termasuk mereka yang harus menjalani proses kuarantin kendiri dalam tempoh waktu seperti yang ditetapkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Walaupun mereka telah dikesan lebih awal dan tidak dibenarkan masuk ke lokasi rakaman AME2021, kami tetap mengambil langkah lebih berjaga-jaga, dan tidak ingin mengambil sebarang risiko berkenaan dengan keselamatan mana-mana pihak memandangkan statistik harian semakin meningkat,” ujar kenyataan tersebut lagi.
Pihak Astro selaku penganjur memohon maaf atas apa yang berlaku sehingga terpaksa bertindak menangguhkan penganjuran acara hiburan terbabit.
“Kami dengan ini ingin memohon maaf kepada semua yang terlibat terutamanya barisan artis, para penaja, rakan-rakan niaga, penonton khususnya pengundi dan kru produksi di atas kejadian yang tidak diduga dan di luar kawalan kami ini.
“Sekali lagi, ingin ditekankan di sini bahawa keputusan ini telah diambil kerana keselamatan mereka yang terlibat sentiasa menjadi keutamaan kami. Terima kasih di atas sokongan anda. Kami akan memantau situasi semasa dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan kelak,” ujar Astro seperti dipetik kenyataan yang dimuat naik dalam Instagram.
AME2021 yang dikendalikan oleh Nabil dan Jihan Muse sepatutnya bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) esok, 30 Januari 2022 pukul 9 malam.
Hari ini, jangkitan Covid-19 kekal melepasi angka 5,000 dengan 5,139 kes dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,861,069 kes sekali gus semakin mencetuskan kebimbangan gelombang baharu virus maut berkenaan kembali mengganas di negara ini terutama disebabkan varian Omicron. – K! ONLINE