PETALING JAYA – Syarikat pengendali umrah memohon kerajaan agar tidak melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ibadah umrah baharu dengan terlalu ketat agar jemaah tidak terbeban lebih-lebih lagi jika melibatkan aspek peningkatan kos.
Pengarah merangkap Penasihat Undang-undang Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Ida Riswana Idris berkata, ini kerana peningkatan kos itu akan ditanggung oleh jemaah sekali gus akan membebankan mereka seperti kuarantin wajib.
“Seboleh-bolehnya biarlah SOP umrah sama adil dengan SOP untuk pelancong dari luar seperti mana rancangan terkini kerajaan yang akan mula membuka pintu sempadan negara untuk pelancong luar bagi tujuan pemulihan sektor ekonomi.
“Kita juga berharap supaya pihak kerajaan benar-benar menguatkuasakan perundangan dan memperketatkan kawalan terhadap agensi atau orang perseorangan yang tidak berlesen, tetapi menjual pakej umrah kepada jemaah sehingga kebajikan mereka terabai,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pada masa sama, menurut beliau, keputusan kerajaan membenarkan semula ibadah umrah pada 8 Februari depan adalah sangat tepat pada masanya kerana terlalu ramai jemaah yang telah merancang lama untuk
ke Tanah Suci.
“Kita menyambut baik keputusan tersebut kerana mencerminkan kerajaan yang prihatin dan menepati janji.
“Tempoh masa umrah dibuka tidak lama dan akan berakhir tiga bulan lagi, maka keputusan kerajaan untuk membuka semula umrah pada 8 Februari adalah peluang terbaik buat jemaah terutamanya yang telah tertangguh dua kali sejak dari awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kita harap kerajaan dapat membantu agensi umrah dengan tidak lagi membuat sebarang keputusan penangguhan umrah secara tiba-tiba sebelum lain-lain langkah pengawalan diambil,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Harun KC Ahmmu memohon Kementerian Kesihatan (KKM) agar membenarkan jemaah yang pulang selepas menunaikan ibadah itu melaksanakan proses kuarantin di rumah masing-masing.
“Bumitra mendapati ramai jemaah yang sudah bersedia untuk ke tanah suci, namun ramai juga yang tidak bersedia untuk menanggung kos kuarantin kerana ia melibatkan wang ringgit.
“Melihat kepada caj pembayaran pusat kuarantin atau hotel yang dikenakan adalah tinggi antara RM250 hingga RM300 sehari, dalam kalangan jemaah tidak semua yang berkemampuan dari segi kewangan untuk menanggung kos kuarantin yang tinggi ini,” katanya.
Katanya, Bumitra melihat kos itu akan membebankan mereka, jika proses kuarantin dibenarkan di rumah jemaah dengan satu peraturan dan kawalan yang ketat, dia yakin industri ini akan terus mekar.
Pada Rabu lalu, Kabinet memutuskan untuk membenarkan semula umat Islam mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Februari depan yang tertangguh sejak sebulan lalu.