PETALING JAYA – Pelakon dan pengarah Raja Azrey Raja Kamaruzzaman mengambil tindakan membuat satu laporan polis selepas menerima ugutan daripada seorang individu yang mahu menyebarkan video lucah didakwa dirinya.
Kata Raja Azrey, individu terbabit juga mendesaknya membayar sebanyak RM5,000 atau jika enggan berbuat demikian, video lucah didakwa dirinya akan dikongsi kepada semua kenalan dalam Facebook.
“Semuanya bermula malam Rabu lalu apabila saya dihubungi seorang wanita dari Indonesia yang secara tiba-tiba meminta saya menghulurkan bantuan kewangan kononnya seorang ahli keluarganya sakit.
“Dari situ saya tahu dia ‘scammer’ yang mencari mangsa, mendapatkan duit dengan cara mudah.
“Saya mahu tengok sejauh mana dia ‘pusing’. Tiba-tiba dia menangis sebelum serahkan telefon kepada seorang lelaki yang juga bercakap menggunakan bahasa Indonesia.
“Lelaki itu terus mendakwa tahu identiti serta punya maklumat akaun Facebook dan Instagram saya sambil mengatakan ada menyimpan video saya dalam keadaan mengaibkan dan desak saya bayar RM5,000.
“Mula-mula saya tak ambil peduli sebab menyangka dia sekadar cuba nasib namun selepas panggilan tamat saya terima kiriman video dimaksudkan. Saya terkejut sebab imej itu memang wajah saya tetapi
kalau tengok memang teknik suntingan.
“Atas nasihat kawan-kawan yang pernah berdepan situasi sama, saya terus buat laporan polis di Balai Polis Sg. Long, Kajang selain berhubung terus dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM),” katanya kepada Kosmo! Online.
Pengarah filem Hilang itu mengakui berbuat demikian kerana tidak mahu menjadi mangsa peras ugut pihak tidak bertanggungjawab selain memberi peringatan kepada orang lain agar berhati-hati terhadap taktik penggodam.
Kata Raja Azrey lagi, bukan hanya gambar dan video di dalam telefon dapat dicuri, segala maklumat peribadinya juga diketahui ‘scammer’ tersebut yang dipercayai melakukan aktiviti jenayah tersebut secara berkumpulan.
“Awalnya saya tertanya-tanya kenapa saya yang terkena sehingga saya meminta bantuan kenalan di Indonesia. Memang nombor telefon serta akaun untuk pindahan wang yang diberi ‘scammer’ itu dari sana.
“Walaupun cuma teknik suntingan, saya perlu buat laporan polis bimbang ada yang menyangka itu diri saya sebenar. Saya tengok sendiri pun malu. Kalau disebarkan tentu boleh cetuskan salah faham.
“Bagi yang simpan gambar atau video dalam telefon berhati-hatilah walaupun cuma gambar biasa atau sekadar ‘selfie’ sebab penggodam ini tahu cara untuk menjadikannya ‘berbeza’.
“Macam saya yang sejenis suka bawa telefon ketika ‘membuang’ untuk cari ilham sambil skrol enjin carian, mereka nyata ambil video saya sedang tengok jerawat dengan kamera dan kemudian edit. Itu yang saya terkejut apabila ditukar jadi video panas,” ulas bapa kepada dua cahaya mata itu.
Kata pelakon Blok 404 itu lagi, buat masa ini dia sudah menutup semua laman sosial bagi mengelakkan pihak tersebut terus membuat gangguan.
“Hidup harus diteruskan macam biasa. Saya sekarang agak kurang berlakon tetapi masih aktif dengan tugasan belakang tabir selain mengendalikan akademi melatih pelakon pelapis sejak lebih setahun lalu.
“Kami beroperasi di Baling dan Gurun, Kedah serta berpangkalan di Cheras. Setakat ini di Kuala Lumpur saya sudah menyempurnakan 12 sesi membabitkan penyertaan sekitar 300 bakat baharu.
“Sebagai penutup setiap sesi saya bagi mereka peluang berlakon drama yang disiarkan menerusi platform YouTube RajaAzrey TV Channel untuk rasai pengalaman sebenar,” katanya.
Raja Azrey yang juga aktivis teater turut berharap perbuatan tidak bermoral pihak yang disifatkan penjenayah maya itu dapat dikekang daripada terus berleluasa. – K! ONLINE