fbpx

Cabaran besar ibu bapa era pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramai ibu bapa menghantar anak mereka ke taska untuk memudahkan penjagaan. - Gambar hiasan
NOR SYARIZA MUHD. TAHIR, WARTAWAN EKSEKUTIF

MEMBESARKAN anak-anak kecil semasa era pandemik Covid-19 ternyata bukan mudah. Hendak dibawa bersiar-siar dan ke lokasi tumpuan ramai pasti mengundang rasa bimbang.

Tidak divaksin, tidak boleh memakai pelitup muka dan antibodi pula tidak sekuat orang dewasa menyebabkan anak kecil terdedah dengan risiko dijangkiti Covid-19. Risiko ini berterusan setiap hari bagi ibu bapa yang terpaksa menghantar anak ke taska.

Meskipun sedar akan risiko itu, mereka tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menghantar anak masing-masing kerana tuntutan kerjaya.

Dilema ini semakin meresahkan apabila taska pula terpaksa ditutup kerana berlaku kes jangkitan. Akibatnya, anak-anak terpaksa melakukan ujian calitan, menjalani kuarantin dan taska ditutup selama beberapa hari.

Mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, taska perlu ditutup serta-merta sekiranya ada dalam kalangan mereka yang berada di pusat tersebut positif Covid-19. Bagi yang bergejala seperti demam, batuk, selesema dan sakit tekak mereka dilarang berada di taska.

Situasi ini membawa kepada beberapa masalah lain iaitu risiko anak-anak kecil dijangkiti virus dan tiada penjaga lain untuk menjaga anak-anak sepanjang tempoh tersebut.

Ekoran itu, ada yang terpaksa memohon cuti bekerja, cuti kecemasan, meminta ihsan ketua jabatan untuk bekerja dari rumah atau menghantar anak ke rumah ibu bapa atau sesiapa yang dipercayai.

Keadaan ini seolah-olah menjadi satu rantaian, tiada penyelesaian dan akan berterusan selagi Covid-19 wujud.

Menteri Pembangunan Wa­nita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun sebelum ini memaklumkan lebih 18,000 pengasuh di 5,326 taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan diberi keutamaan untuk mendapat suntikan vaksinasi bagi menjamin persekitaran yang selamat.

Menurut Pakar Psikologi Universiti SEGi, Profesor Datin Dr. Mariani Md. Nor, ibu bapa perlu yakin bahawa pihak taska melaksanakan tanggungjawab dalam memastikan SOP yang selamat diamalkan di taska.

“Jika berlaku jangkitan Covid-19 dan taska ditutup sementara, ibu bapa perlu lebih bersedia dengan sebarang kemungkinan dan memastikan mereka mempunyai pelan alternatif ber­kenaan penjagaan anak,” ujarnya.

Penutupan taska tidak menghalang guru untuk meneruskan proses pembelajaran dengan adanya teknologi dan ibu bapa perlu lebih proaktif dalam membimbing anak di rumah.

“Sekiranya ia tetap menjadi kekangan, mungkin ibu bapa perlu menggunakan perkhidmatan seseorang yang boleh hadir secara fizikal untuk menjaga anak kecil bagi memastikan ke­selamatan mereka terjamin dan dapat dikawal selia,” katanya.

Sudah dua tahun kita hidup dikelilingi virus Covid-19. Sepatutnya, segala jenis pelan alternatif sudah ada dalam ‘kocek baju’ masing-masing berkenaan apa yang perlu dilakukan dalam keadaan tertentu.

Benar, tidak mudah membesarkan anak kecil ketika era pandemik seperti ini. Cabarannya bukan biasa-biasa.

Apa yang boleh dilakukan adalah berserah, semoga anak-anak kecil kita dilindungi Yang Maha Kuasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI